suria

Penerbangan sulung AirAsia X ke Abu Dhabi, UAE malam ini

SEPANG: AirAsia X hari ini secara rasmi melancarkan penerbangan sulung secara terus ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada pukul 10 malam ini (23 November 2009).

Penerbangan sulung AirAsia X ke Abu Dhabi berlepas dari terminal penerbangan tambang murah (LCCT) pada malam ini dengan pesawat Airbus A340 yang berkapasiti 286 tempat duduk termasuk 30 tempat duduk premium.

Abu Dhabi ialah destinasi pertama AirAsia X di Timur Tengah. AirAsia menawarkan penerbangan sebanyak lima kali seminggu bagi laluan Abu Dhabi dan Kuala Lumpur.

Akan turut serta dalam penerbangan sulung ini ialah Pengerusi AirAsia X, Datuk Seri Kalimullah Hassan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia dan Pengarah AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani.

Azran berkata, terdapat permintaan untuk laluan tersebut dan kira-kira 60 peratus daripada permintaan itu datang dari UAE.

Lain-lain yang dijangka mengiringi rombongan tersebut termasuk ahli-ahli Lembaga Pengarah AirAsia X, tetamu korporat, pemilik atau pengurus hotel, ejen-ejen pelancongan dan wakil-wakil media massa.

Bersempena dengan pelancaran penerbangan sulung itu, AirAsia menawarkan tempat duduk percuma kepada para penumpang yang membuat tempahan penerbangan dan hotel-hotel terpilih mereka menerusi goholiday.airasia.com .

Tawaran 'The Go Holiday Free Flight' itu adalah untuk tempoh tempahan dari 24 hingga 27 November 2009 dan tarikh penerbangannya adalah dari 1 Disember 2009 hingga 31 Januari 2010.

Artikel Lain