suria

Pemilihan Semula MCA: Dr Chua Minta Liow Bersabar

IPOH: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai agar bersabar berhubung tarikh untuk mengadakan pemilihan semula parti itu dan tidak tergesa-gesa menuntutnya diadakan secepat mungkin.

Beliau berkata ini kerana tidak ada mana-mana pihak dalam MCA yang ingin menafikan hak dan tuntutan untuk mengadakan pemilihan semula dalam parti seperti yang dikehendaki Liow dan kumpulannya.

"Kita semua setuju bahawa kita harus ada pemilihan parti, hanya jadi isu dan pertikaian ialah tarikh. Pada hemat saya bulan Januari dan Mac tidak ada perbezaan besar. Yang lebih penting bagaimana hendak pastikan perpaduan dalam parti,...krisis dalam MCA dapat diselesai demi kepentingan parti dan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita sebelum pertemuan dengan anggota MCA Perak di sini hari ini.

Dr Chua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberikan penjelasan dalam satu pertemuan baru-baru ini bahawa ramai anggota MCA tidak dapat hadir sekiranya pemilihan semula parti itu diadakan pada bulan depan.

"Jika diadakan pada Januari atau Februari, juga ada masalah kerana Tahun Baru Cina. Maka kita merasakan Mac adalah tarikh yang paling sesuai dan terawal untuk mengadakan pemilihan semula parti," katanya.

Sementara itu Dr Chua berkata mungkin sudah tiba masanya untuk MCA 'menutup buku' berhubung isu 'skuad intip' dalam parti dan sebaliknya menyerahkan laporan mengenainya kepada pihak yang terlibat.

"Orang seperti saya terbabit, jadi saya ingin sangat melihat laporan itu diberikan kepasa kita. Kita dipanggil sebagai saksi tetapi laporan itu tidak pernah diberikan kepada kita. Jadi ini sering menimbulkan spekulasi yang malangnya akan berlaku," kata beliau.

"Malah mayat pun digali keluar untuk laporan patologi bagi mewujudkan ketelusan bagi memastikan orang ramai berpuas hati dengan penemuan dan ini sangat penting," tambah beliau. BERNAMA

Artikel Lain