suria

Lebih Ramai Mangsa Banjir Di Terengganu Dan Kelantan Dipindahkan

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan secara keseluruhannya bertambah buruk malam tadi apabila lebih ramai penduduk di kedua-dua negeri itu dipindahkan ke pusat pemindahan.

Lebih 1,000 orang di Terengganu dan 664 lagi di Kelantan dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sehingga kini paras air di beberapa sungai utama di Terengganu juga masih berada pada paras bahaya.

Penduduk di Kampung Pemberian dekat Kuala Krai pula terputus hubungan apabila jambatan yang menghubungkan kampung itu dengan Kampung Manjor yang merentasi Sungai Galas turut ditenggelami air kira-kira lima meter.

Di KUALA TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 5,641 berbanding 4,627 orang petang tadi, kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu kepada Bernama.

Beliau berkata jumlah mangsa yang paling ramai dipindahkan ialah di Hulu Terengganu melibatkan 1,413 orang, Kemaman (1,329), Setiu (1,059), Besut (1,008), Dungun (555) dan 277 lagi dari Marang.

Jurucakap itu berkata sebanyak 106 pusat pemindahan dibuka setakat ini iaitu 26 di Hulu Terengganu, Besut (24), Setiu (20), Kemaman (18), Dungun (11)dan Marang (tujuh)

Beliau berkata jalan persekutuan yang dinaiki air dan ditutup kepada semua kenderan ialah Jalan Sungai Tong ke Kuala Berang, manakala jalan pantai Kuala Terengganu ke Kota Baharu turut ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang paling banyak ditutup ialah di Hulu Terengganu (10), Marang (tujuh), Setiu (enam), Dungun (dua) dan Besut (tiga).

Beliau berkata hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lepas turut menyebabkan tebing runtuh di Jalan Jerangau ke Jabor iaitu di Bukit Diman, Ajil menyebabkan sebelah jalan berkenaan ditutup.

Jurucakap itu berkata paras air Sungai Besut di Kampung La meningkat kepada 20.72 meter, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (9.28 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap (22.26 meter) dan bacaan sungai itu di Kampung Bukit (17.25 meter).

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal merekodkan bacaan 17.14 meter bahaya 16 meter), Sungai Kemaman di Jambatan Jerangau 12.71 meter (bahaya 12.5 meter) dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan 14.16 meter (bahaya 13.7 meter).

Di KOTA BAHARU,paras air di Sungai Golok dan Sungai Kelantan semakin meningkat mengakibatkan 2,327 orang daripada 540 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir di seluruh negeri malam ini berbanding 1,663 mangsa petang ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir negeri berkata mangsa yang paling ramai dipindahkan ialah di Pasir Mas melibatkan 910 orang, Kuala Krai (872), Tanah Merah (251), Pasir Puteh (36) dan Machang (19).

Tinjauan Bernama di Rantau Panjang mendapati pekan itu ditenggelami air sedalam lebih satu meter dan pihak tentera di sempadan Kelantan-Thailand menggunakan bot tempur untuk menyelamatkan mangsa.

Paras air Sungai Golok di daerah itu juga mencatat bacaan 10.45 meter melepasi paras bahaya sembilan meter manakala sungai yang sama di Jenob, Tanah Merah ialah 24.66 meter (bahaya 23.50 meter).

Air Sungai Kelantan di Tangga Krai merekodkan bacaan 26.54 meter melebihi paras bahaya 25 meter, di Kusial Tanah Merah 18.19 meter (bahaya 16 meter), manakala bacaan di sungai yang sama di Tambatan Diraja juga turut melebihi paras bahaya 5.03 meter (bahaya 5 meter).

Jurucakap itu berkata tiada jalan utama yang ditutup. BERNAMA

Artikel Lain