suria

Polis Tumpas Kumpulan Samun Bersenjata

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sebuah kumpulan yang terlibat aktif melakukan samun bersenjata dengan tertangkapnya empat lelaki di Ampang dan Brickfields, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kesemua lelaki yang berumur lingkungan 20 hingga 40-an itu ditangkap di rumah masing-masing dalam satu serbuan pada pukul 5.45 pagi.

"Penangkapan itu susulan daripada kes sebuah kedai runcit di Taman Industri, Lembah Jaya, Ampang di sini yang disamun pada 13 November lepas," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sepucuk pistol jenama Walther P99, dua magazine berisi 28 butir peluru, sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai kad kredit dan kad bank serta dua bilah parang.

"Polis turut menemui sebuah motosikal jenis Suzuki RG Sport. Kita percaya kesemua barang yang dirampas adalah milik mangsa (samun), manakala senjata yang ditemui itu digunakan suspek untuk melakukan samun dengan cara mengugut mangsa," katanya.

Katanya ekoran tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 17 kes yang membabitkan jenayah samun bersenjata dalam daerah Ampang Jaya dan daerah sekitarnya.

Kesemua suspek direman enam hari bermula dari tarikh tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun di kawasan Ampang pada 3.30 pagi Jumaat lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan Ah Long.

"Dia ditahan kerana menggunakan pemerasan ketika mengutip hutang dan suspek turut merampas sebuah kereta Proton Perdana milik seorang lelaki yang meminjam wang daripadanya," kata Abdul Jalil.

Polis berjaya menemui semula kereta mangsa.

Abdul Jalil berkata siasatan mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan di sekitar Ampang bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas. BERNAMA

Artikel Lain