suria

Manusia Sanggup Bayar Untuk Hijrah; Negara Sanggup Bayar Untuk Manusia Hijrah

BARU-BARU ini di Australia timbul perdebatan yang agak hangat, gara-gara 78 orang pendatang haram dari Sri Lanka yang berlindung dalam sebuah kapal kargo “Oceanic Viking”.

Kedatangan mereka menuntut hak mendapatkan status suaka politik untuk mendarat di utara Australia.

Episod ini bermula hampir beberapa minggu yang lalu, apabila kerajaan pimpinan Kevin Rudd meminta rakan sejawat di Indonesia untuk memintas kapal tersebut di perairan antarabangsa dari memasuki kawasan kawalan mereka.

Paling menariknya, kerajaan Australia sanggup untuk menanggung segala kos yang terbit daripada peristiwa ini. Babak drama ini tidak berakhir begitu sahaja.

Liputan meluas yang diberikan oleh media massa tempatan menyebabkan perhatian rakyat tertumpu terhadap isu ini. Tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Australia untuk menghalang kemasukan mereka disanggah oleh pelbagai pihak, termasuklah badan-badan bukan milik kerajaan.

Pejuang hak asasi kemanusian berpendapat adalah tidak wajar bagi kerajaan Australia untuk tidak membenarkan mereka untuk memulakan hidup baru di negara ini, apatah lagi dengan terdapatnya bayi dan kanak-kanak bersama-sama dalam kumpulan itu.

Hujah mereka diperkukuhkan lagi dengan keadaan demografi Australia yang sekadar mempunyai penduduk sekitar 22 juta sahaja (dengan keluasan hampir 10 kali ganda dari Malaysia).

Siasatan awal pihak polis mendedahkan, setiap dari mereka membayar tidak kurang dari Australia Dollar 20,000, iaitu kira-kira RM65,000 nilai semasa, untuk diseludup masuk ke negara ini.

Mereka juga mendawa, mereka sanggup bertarung nyawa mengharungi lautan kerana merasakan nyawa mereka lebih terancam di negara asal mereka sendiri. Mereka telah menjadikan Indonesia, sebagai tempat transit sebelum menuju ke Australia, sebagai destinasi terakhir.

Kerajaan Australia menegaskan, mereka sebenarnya tidak pernah menghalang penghijrahan manusia, tambah-tambahan lagi, jika mereka merupakan pelarian politik, namun, mereka hendaklah melalui proses kemasukan yang ditetapkan.

Yang menjadi masalah, mereka tidak mahu melalui saluran sepatutnya, dengan alasan ia mengambil masa terlalu lama, malah menggunakan taktik tekanan emosi (emotional blackmail) dengan mengugut untuk membunuh diri jika mereka tidak diterima masuk ke Australia.

Persoalan pokok yang ingin saya ketengahkan di sini ialah isu kemasukan rakyat asing ke sesebuah negara. Secara amnya saya bersetuju dengan polisi yang diambil oleh Kevin Rudd.

Mana mungkin kita membenarkan sesiapa sahaja memasuki negara kita tanpa memiliki dokumen mahupun perakaun yang sah, apatah lagi atas nama ugutan. Bayangkanlah bagaimana tingkah laku mereka jika dibenarkan mendiami Australia.

Menurut satu kajian yang dilaksanakan di sebuah universiti tempatan, 4:5 dari pendatang yang memasuki Australia hidup dengan bantuan penuh kerajaan (full consension), secara tidak langsung ini memberikan tekanan ekonomi serta penyaluran wang rakyat terhadap sesuatu yang boleh dihindarkan.

Adalah lebih baik jika duit cukai itu boleh digunakan untuk kemajuaan negara seperti pembinaan lebih banyak hospital dan sekolah.

Negara kita, sebenarnya merupakan antara tempat tumpuan ramai warga luar dengan wujudnya limpahan rezeki serta jaminan keselamatan yang tinggi menyebabkan mereka ingin mendiami serta mendapat tempias kenikmatan yang kita rasai sekarang.

Bayangkan pula jika, kerajaan melonggarkan prosedure kemasukan warga asing sewenag-wenangnya tanpa mewujudkan mekanisma kawalan tertentu.

Berapa ramai antara mereka yang akan terus tinggal dan berapa ramai di antara mereka yang terpaksa kita tanggung kos kehidupan mereka, terutamanya di pusat-pusat tahanan imagresan.

Lihat sahaja, apa yang terjadi di Arab Saudi apabila jumlah pendatang yang menghuni bumi mereka hampir suku dari warganegara mereka sendiri. Kirakan sendiri berapa banyak duit pembayar cukai digunakan kerajaan tersebut untuk menaggung kos penangkapan, penahanan, pembicaraan dan penghantaran balik.

Malah tidak hairanlah baru-baru ini apabila kerajaan Denmark meluluskan satu rang undang-undang baru penghantaran balik pendatang, sama ada yang telah masuk secara haram, penduduk tetap termasuk lah mereka yang telah diberi taraf kewarganegaraan untuk pulang ke tanah asal mereka berserta dengan sagu hati berjumlah AS$21,000.

Duit ini hanya akan dibayar apabila mereka sudah berada di negara asal mereka, sebagai bantuan untuk memulakan kehidupan baru.Bagi kerajaan Denmarak, AS$21,000 masih rendah jumlahnya berbanding kos menanggung pendatang di negara mereka.

Bagi saya, kita amat mengalu-alukan kedatangan pelancong, tetapi kemasukan mereka mungkin perlu diperketatkan sedikit kaedahnya, seperti, mewajibkan setiap pelancong memiliki tiket penerbangan pulang, jaminan bon tertentu serta data lengkap termasuk alamat semasa di negara kita. Limitasi waktu berada di negara kita juga perlu difikirkan, tempoh 3 bulan yang diberikan adalah terlalu lama buat seorang pelancong.

Walaupun cadangan ini nampak remeh tetapi impaknya cukup besar. Kita akan dapat mengawal kemasukan orang yang ingin menyalahgunakan visa lawatan serta dapat membendung kedatangan warga asing yang dianggap merompak dilaman sendiri.

Janganlah pula demi menjaga sifat keterbukaan menerima tetamu menyebabkan kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan. Timbangkanlah yang mana lebih menguntungkan dan yang mana lebih membebankan.

Dr Hj Ahmad Zaharuddin Sani Sabri,adalah Honorary Visiting Academician, Asian Institute University Of Melbourne

Artikel Lain