suria

'Satu Keluarga , Satu Simpanan' Untuk Keluarga India

KUALA LUMPUR: Dengan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka tetapi tempat terhad di instituti pendidikan awam, MIC menggesa ibu bapa kaum India menyimpan wang untuk pelajaran anak-anaknya.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan Skim "Satu Keluarga, Satu Simpanan" bagi memastikan masa depan anak mereka terutamanya apabila mereka layak memasuki universiti tempatan atau berhasrat melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Beliau berkata melalui usaha MIC, Kooperasi Didik (Kop Didik) telah ditubuhkan yang kini mempunyai 34,220 anggota dengan pelaburan berjumlah RM5.7 juta untuk pendidikan anak-anak mereka.

"Minat di kalangan ibu bapa untuk menyimpan bagi keperluan pendidikan anak-anak mereka kian meningkat," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Kop Didik di sini hari ini.

Selain Kop Didik, dana Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) yang dikenadalikan MIC telah mengeluarkan hampir RM90 juta pinjaman pelajaran dan geran, kata beliau.

Beliau berkata Kop Didik juga melancarkan Skim Penyimpanan Pendidikan Tinggi yang kini mempunyai 2,252 anggota berdaftar dengan pelaburan bernilai RM3.3 juta. Kop Didik juga mengambil perlindungan insuran dengan sebuah syarikat insuran tempatan bagi memastikan anak-anak mereka akan mendapat faedah.

"Kita (MIC) akan terus memberikan keutaman terhadap pendidikan dan penyimpanan untuk masa depan anak-anak kita," tambah Samy Vellu. BERNAMA

Artikel Lain