suria

PAS Kelantan Tidak Mahu Campur Isu Berkaitan Nik Aziz

KOTA BAHARU: PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan ia tidak ada kena mengenai soal politik.

Setiausaha Badan Perhubungannya Mohd Zaki Ibrahim berkata parti itu yakin Nik Aziz mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.

"PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.

Mengenai khabar angin Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam blog tertentu, beliau berkata: "Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini)."

Pada mesyuarat itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan. BERNAMA

Artikel Lain