suria

Keputusan UPSR Empat Sekolah Sabah Disemak Semula

KUALA LUMPUR: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di empat buah sekolah di Sabah ditahan kerana disemak semula dan hanya akan diumumkan pada Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kementerian terpaksa menahan keputusan itu bagi membolehkan Lembaga Peperiksaan menilai semula jawapan pelajar kerana timbul unsur keraguan.

Ia membabitkan tiga buah sekolah di Tawau dan satu di Keningau membabitkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik, Alimuddin memberitahu Bernama hari ini.

"Disebabkan adanya ketidakpastian dan keraguan terhadap jawapan bagi tiga mata pelajaran itu, kementerian menahan keputusan UPSR bagi membolehkan jawapan itu dinilai semula.

"Penilaian telah siap dan pelajar-pelajar boleh mendapatkan keputusan masing-masing Isnin ini," katanya.

Keputusan UPSR seluruh negara diumumkan pada Khamis lepas.

Ditanya adakah penahanan keputusan itu disebabkan kebocoran kertas soalan, Alimuddin berkata: "Perkara itu tidak berlaku."

"Kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini. Tahun lepas pun ada. Tidak ada kebocoran kertas soalan. Apa yang berlaku ialah Lembaga Peperiksaan mendapati ada keraguan terhadap jawapan dan mereka menangguhkan keputusan untuk dikaji semula," katanya.

Beliau tidak memberi nama sekolah terbabit.

Mengenai kesan penahanan keputusan itu terhadap pelajar dan kebimbangan ibu bapa mengenai kemasukan anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh, Alimuddin berkata perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana urusan kemasukan ke asrama penuh dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata kementerian mempunyai senarai nama pelajar yang layak dan keputusan siapa yang terpilih juga ditentukan pihaknya.

"Sebenarnya masalah ini tidak timbul. Urusan kemasukan ke sekolah berasrama penuh dikendalikan oleh kementerian. Penahanan keputusan itu tidak mengganggu peluang mereka kerana kementerian mempunyai senarai nama mereka yang layak. Jadi ibu bapa tidak perlu risau mengenainya," katanya.

Pencapaian keseluruhan calon-calon tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas dengan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak satu peratus berbanding 2008. BERNAMA

Artikel Lain