suria

Tiada Kematian Denggi Walaupun Kes Bertambah

PUTRAJAYA: Tidak ada kematian dilaporkan akibat demam denggi pada minggu lepas walaupun bilangan kes meningkat kepada 720 daripada 618 minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya peningkatan bilangan kes itu di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah berkemungkinan dipengaruhi musim hujan sekarang.

Jumlah kematian sejak Januari tahun ini ialah 75.

Dr Mohd Ismail berkata 12 kawasan dikenali tempat utama berlaku kes itu sedang dipantau di samping empat kawasan baru iaitu di Taman Puchong Utama 6 dan Taman Sri Gombak di Selangor serta Taman Rinting di Jalan Bahau, Johor, dan Merbau East, Sarawak.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata bilangannya juga mencatatkan peningkatan kepada 277 kes berbanding 202 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata Sarawak menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 269 kes manakala Pulau Pinang hanya mempunyai satu kes.

Tiada kematian bagi penyakit Chikungunya dilaporkan sehingga kini. BERNAMA

Artikel Lain