suria

SETPOL OTK LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Simon Lim, pembantu kanan presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat MCA pada Rabu.

Lim, yang merupakan setiausaha politik kepada Ong, berkata beliau menyerahkan sendiri surat perletakan jawatannya, yang bertarikh 18 November kepada Ong dengan satu salinan kepada Perdana Menteri.

"Saya menyerahkan sendiri kepada beliau di pejabat beliau di Kementerian Pengangkutan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat. Perletakan jawatan saya akan berkuatkuasa 1 Disember," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menyatakan keputusannya itu disebabkan alasan peribadi, Lim berkata beliau mahu kembali kepada bidang guaman di mana beliau pernah menjadi rakan kongsi kanan dalam syarikat guaman, Simon and Co.

"Sebenarnya saya merancang untuk kembali ke bidang guaman selepas mesyuarat agung luar biasa MCA yang lepas (10 Oktober). Sekarang saya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada perletakan jawatannya itu mempunyai kaitan dengan spekulasi behawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan Ong merombak Majlis Presiden MCA baru-baru ini.

Selain menjadi setiausaha politik Ong, Lim juga adalah ketua Biro Petugas Khas MCA.

Artikel Lain