suria

SETIAUSAHA POLITIK OTK LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Simon Lim, pembantu kanan presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat MCA pada Rabu lalu.

Lim, yang merupakan setiausaha politik kepada Ong, berkata beliau menyerahkan sendiri surat perletakan jawatannya, yang bertarikh 18 Nov kepada Ong dengan satu salinan kepada Perdana Menteri.

"Saya menyerahkan sendiri kepada beliau di pejabat beliau di Kementerian Pengangkutan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat. Perletakan jawatan saya akan berkuatkuasa 1 Dis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lim berkata, beliau mahu kembali kepada bidang guaman di mana beliau pernah menjadi rakan kongsi kanan dalam syarikat guaman, Simon and Co.

"Sebenarnya saya merancang untuk kembali ke bidang guaman selepas mesyuarat agung luar biasa MCA yang lepas (10 Okt). Sekarang saya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

Selain menjadi setiausaha politik Ong, Lim juga adalah ketua Biro Petugas Khas MCA. BERNAMA

Artikel Lain