suria

Polis Tahan 28 Orang Terlibat Kejadian Judi Di P. Pinang

PULAU PINANG: Polis merampas 82 komputer yang lengkap dengan perisian perjudian dan menahan 28 orang yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan judi di Pulau Pinang sejak 13 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata mereka ditahan dalam 32 serbuan "Ops Dadu" yang dijalankan di sini sepanjang tempoh itu, dalam usaha polis membanteras kegiatan judi.

Katanya daripada 32 serbuan yang dilakukan oleh Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang itu, 10 melibatkan kegiatan loteri awam haram, mesin komputer (12 serbuan), judi di tempat bebas (satu serbuan) dan bookie kuda haram (sembilan serbuan).

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata, daripada 28 tangkapan yang dilakukan, lapan terlibat dengan kesalahan berkaitan loteri haram, mesin komputer (tujuh orang) dan berjudi di tempat bebas (13 orang).

"Selain 28 orang itu, polis turut menahan 18 lagi bagi tujuan dokumentasi berhubung kegiatan bookie kuda haram," katanya.

Sementara itu dalam operasi membanteras maksiat, cawangan yang sama melakukan 11 serbuan menerusi "Ops Noda" ke beberapa premis yang dipercayai menjalankan kegiatan itu antaranya hotel dan rumah urut dalam tempoh yang sama.

Wan Abdullah berkata dalam serbuan itu polis menahan 81 wanita melibatkan empat rakyat tempatan dan 77 warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dan GRO.

Katanya daripada 77 rakyat asing itu, 55 wanita dari China, Indonesia(tujuh), Filipina (tiga), Thailand (sembilan) dan Vietnam (enam).

Sementara itu dalam perkembangan lain, polis sedang berusaha mengesan orang yang memulakan penghantaran mesej berunsur fitnah menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa kononnya kerajaan negeri mensyaratkan semua majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin Islam dibuat di tokong Cina.

Wan Abdullah berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa orang mengenai perkara itu, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain