suria

Polis Bongkar Makmal, Rampas Dadah Bernilai RM160,000

SEREMBAN: Polis membongkar kegiatan memproses dadah di sebuah rumah pangsa di taman Bukit Delima, di sini apabila menyerbu rumah yang dijadikan makmal menghasilkan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATs) itu, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu, polis merampas 306 biji pil ATS dan 1,077 gram serbuk dipercayai untuk memproses dadah jenis ATS dan peralatan untuk memproses pil ATS, yang kesemuanya bernilai RM160,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt V.R. Ravi berkata polis percaya rumah itu dijadikan 'kitchen lab' bagi memproses pil ATS untuk pasaran sekitar bandar ini.

"Kami masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kewujudan 'kitchen lab', terutama dari segi kepakaran menghasilkan pil ATS ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, polis kini mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai Ang Kok Wei, dengan nombor kad pengenalan 841104-06-5439 dan beralamat terakhir di No A15, Jalan Kenanga 3/19, Taman Kenanga Seksyen 3, Melaka, bagi membantu siasatan kes itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ang diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seremban Insp Mohd Airul Sukri@Remmy Sani di talian 06-6033222 atau Pegawai Turus JSJN negeri ASP Mohd Isa Bidin di talian 06-7682385.

Ravi berkata sebelum serbuan di rumah terbabit, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita rakyat China yang masing-masing berusia 26, 32 dan 35 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Green Street Homes 2, Seremban 2 di sini pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Polis menemui empat ketulan mampat dan dua peket kecil plastik lutsinar disyaki ganja, tiga biji pil disyaki esctasy dan 40 biji pil erimin 5, katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga yang ditahan itu kini direman enam hari untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain