suria

Lelaki UK Gagal Saman Doktor Yang Didakwa Cuai

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera awam dari United Kingdom (UK), yang kematian isteri berikutan prosedur membuang lemak lima tahun lepas, gagal dalam tindakannya menyaman dua doktor pakar terbabit, selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam mengenepikan samannya dengan kos.

Pesuruhjaya Kehakiman Harminder Singh Dhaliwal membacakan keputusan itu selepas mendapati plantif, Matthew Scott Oakley Abdullah, 39, gagal membuktikan berlaku kecuaian perubatan atas imbangan kebarangkalian.

Harminder juga mengarahkan Oakley untuk membayar kos ekses sebanyak RM20,000 seorang kepada pakar bedah plastik Dr George Varughese, pemilik sebuah klinik di Bangsar di sini dan anestatik bebas, Dr R. Raja Kumar.

Dalam samannya yang difailkan pada 10 Jun 2006, Oakley, antara lain mendakwa dua doktor itu telah gagal untuk menggunakan rawatan dan skil yang sesuai dalam mengawasi dan menilai keadaan isterinya, Nik Rosemawati Nik Mohamed, 43, yang menjalani prosedur itu pada 21 Julai 2004.

Beliau mendakwa isterinya mati akibat kecuaian doktor terbabit.

Oakley antara lain menuntut gantirugi am, ganti rugi khas sebanyak RM520,431, selain faedah.

Dalam kenyataan pembelaan, Dr Varughese dan Dr Raja menafikan mereka melakukan kecuaian.

Dalam pengakimannya, Harminder berkata adalah tugas plantif untuk membuktikan defendan cuai, dan sama ada kecuaian itu yang menyebabkan kematian isteri plantif.

"Rawatan perubatan bukan sains yang pasti, malah anggota badan manusia mempunyai pelbagai misteri. Hanya kes yang nyata seperti kapas atau bahan uji tertinggal dalam abdomen boleh dikatakan dengan pasti sebagai kecuaian.

"Walaupun jika kecederaan disebabkan defendan, adalah tidak semestinya mereka cuai. Penilaian saya ialah kematian mangsa bukan kerana kecuaian pihak tertentu. Saya dapati plantif telah gagal membuktikan berlaku kecuaian perubatan atas imbangan kebarangkalian," katanya.

Oakley diwakili peguam Renu Zechariah manakala peguam Darryl Goon mewakil Dr George dan peguam Suria Kumar untuk Dr Raja. BERNAMA

Artikel Lain