suria

Rumah Milik Peniaga Aksesori Kereta Ditembak 8 Kali

KLANG: Lapan das tembakan dilepaskan ke arah sebuah rumah dua tingkat milik peniaga aksesori kereta di Taman Bayu Perdana di sini awal hari ini.

Satu daripada tembakan itu menembusi tingkap hadapan rumah berkenaan dan mengenai dinding belakang rumah jiran peniaga itu, kata Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian yang dilapor berlaku antara pukul 1 pagi dan 2 pagi itu, polis menemui beberapa kesan tembakan di kawasan hadapan rumah terbabit termasuk di pagar dan dinding hadapan rumah itu.

"Polis turut menemui beberapa kelongsong peluru di hadapan jalan rumah itu," katanya kepada pemberita selepas melawat semula lokasi kejadian kira-kira pukul 4 petang ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, peniaga yang berusia dalam lingkungan 30an itu, isteri dan adiknya sedang tidur di tingkat atas rumah terbabit.

Mohamad berkata, menurut beberapa jiran peniaga itu, mereka terdengar bunyi letupan dan deruman motosikal awal pagi ini.

Beliau menambah, polis percaya perbuatan itu dilakukan lebih dari seorang suspek dan kini sedang menyiasat motif sebenar kejadian termasuk kemungkinan perbuatan membalas dendam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang nelayan dari Sekinchan hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian bot tangkapan laut dalam miliknya dirampas dan tiga pekerjanya iaitu rakyat Thailand dijadikan tebusan sekumpulan lelaki yang mendakwa diri mereka anggota polis Marin.

Mohamad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu mendakwa sekumpulan enam lelaki terbabit merampas dan menahan bot serta pekerjanya pada Selasa lepas ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan Klang di sini.

"Lelaki itu membuat laporan polis selepas membayar tebusan RM90,000 kepada kumpulan lelaki berkenaan yang pada mulanya menuntut tebusan sebanyak RM150,000," katanya.

Beliau juga berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, polis menemui dua kesan tembakan dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada nelayan itu serta tiga pekerjanya.

Artikel Lain