suria

PERBEZAAN BERAT DADAH SELAMATKAN PENIAGA DARIPADA TALI GANTUNG

PUTRAJAYA: Ketidaktelitian pihak berkuasa tentang perbezaan berat dalam satu kes dadah menyelamatkan seorang penjual ikan warga Aceh daripada dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Pada 2 Disember 2008, Marwan Ismail dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapatinya bersalah mengedar 1,909 gram ganja di Jalan Nikmat, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, pada pukul 9 malam 20 Nov 2006.

Lelaki itu kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar, yang mengetuai panel dianggotai Hakim-hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop, mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi itu dan menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap Marwan bagi tuduhan pindaan memiliki dadah.

Hukuman itu berkuat kuasa mulai tarikh penangkapannya pada 20 Nov 2006.

Dalam hujahnya, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Marwan, berkata pegawai yang menangkap warga Aceh itu memberitahu mahkamah bahawa dadah berkenaan adalah seberat 1,980 gram, manakala ahli kimia pula berkata beratnya ialah 1,946 gram, berbeza sebanyak 34 gram.

Ukuran berat 1,909 gram yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan adalah berat bersih selepas dadah berkenaan dibuat analisis.

Hisyam berkata, dalam hubungan ini, pihak pendakwa tidak memberi penjelasan tentang perbezaan itu dan ketiadaan turutan dalam rangkaian bukti menunjukkan bahawa dadah itu disimpan selama 15 hari oleh polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kimia.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling pula berkata, oleh kerana wujud perbezaan tentang berat dadah berkenaan, maka pihak pendakwa meminda pertuduhan itu kepada memiliki dadah.

Dalam satu lagi kes dadah, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya bagi satu permohonan semakan semula kehakiman berhubung keputusan yang dibuat panel sebelumnya, yang dikemukakan seorang eksekutif insurans, yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 3.121kg ganja.

Denish Madhavan memohon mahkamah itu menyemak semula keputusannya pada 5 Dis 2008, yang mengubah hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 10 Mei 2005 kerana memiliki dadah.

Dia dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 31 Okt 2003 setelah disabitkan kesalahan mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah di Jalan Sekoi, Bandar Uda, Johor Baharu, pada pukul 10.15 malam 17 Sept 1999.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong dan Datuk Heliliah Mohd Yusof berkata, panel itu memerlukan masa untuk memberi keputusannya kerana ia melibatkan hukuman mati.

Terdahulu, Hakim Zaki bergurau dengan berkata Denish menggunakan pasukan peguam yang hebat untuk membelanya dalam permohonan itu.

Pasukan itu dianggotai lapan peguam, yang diketuai Hisyam, dengan dibantu oleh, antara lain, Gurbachan Singh, Edmund Bon serta Amer Hamzah Arshad.

Dalam hujahnya, Hisyam berkata, mahkamah itu sepatutnya menyemak semula keputusan yang telah dibuatnya kerana wujud ketidakadilan daripada segi prosedur apabila ia mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Danish kerana mengedar dadah.

Timbalan Pendakwa Raya, C.K.Wong bertindak sebagai pendakwa. BERNAMA

Artikel Lain