suria

Keadaan Banjir Di Kedah Semakin Pulih

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di tiga buah daerah di negeri ini semakin berkurangan tengah hari ini apabila sebanyak 177 orang daripada 1,341 orang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, setakat ini jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusatpusat pemindahan ialah sebanyak 1,164 orang berbanding 1,341 orang petang semalam.

Di daerah Kubang Pasu keadaan banjir telah pulih sepenuhnya apabila 64 orang mangsa daripada 12 buah keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk yang terlibat dengan banjir di Daerah Kota Setar telah menurun kepada 866 orang dari 249 buah keluarga di enam buah pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunong (567 orang), Sekolah Kebangsaan Titi Gajah (80 orang) dan Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Siddiq (68 orang).

Dua buah pusat pemindahan lagi iaitu Surau Kampung Pulau Binjal menempatkan 31 orang dan di Tabika Telok Kandis pula menempatkan 26 orang.

Di daerah Pokok Sena pula, sebanyak 24 orang mangsa banjir dari 10 buah keluarga masih ditempatkan di Dewan Lubuk Keriang manakala di Bandar Baharu sebanyak 299 orang daripada 71 buah keluarga masih ditempatkan di empat buah pusat pemindahan.

Bacaan paras air Sungai Titi Haji Idris di Kota Setar masih melebihi paras bahaya iaitu 2.47 meter (paras bahaya 2.15 meter) manakala sungai-sungai lain berada pada paras waspada.

Di IPOH, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian sehingga pukul 1 petang tadi juga berkurangan kepada 989 orang berbanding 1,142 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata 153 mangsa banjir dari Kampung Simpang Lima dibenarkan pulang ke rumah pagi ini.

Kampung yang masih dilanda banjir ialah Kampung Changkat Lobak, Kampung Selekoh, Kampung Beriah, Kampung Simpang Empat, Kampung Sungai Semambu, Kampung Matang Pasir, Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian dan Kampung You Shin, katanya ketika dihubungi.

Mat Fauzi Nayan berkata Jalan Bagan Serai ke Selama di Km10 hingga Km17 masih ditutup kepada semua lalu lintas. BERNAMA

Artikel Lain