suria

Tiga Sahabat Terlepas Hukuman Gantung Kerana Membunuh Pengedar Kereta

PUTRAJAYA: Tiga sahabat yang dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan membunuh seorang lelaki tujuh tahun lepas, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas pertuduhan mereka dipinda kepada membunuh tanpa niat, berikutan terdapat kesilapan teknikal semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar yang mengetuai panel hakim terdiri Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkap 25 Julai, 2002 ke atas Khairul Adli Ramli, Noorazli Abdul Hamid dan Mohd Aswandi Zainal, kesemuanya berumur 27 tahun.

Pada Selasa, peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka, Hisyam Teh Poh Teik dan Karpal Singh dalam rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman itu, berhujah hakim yang mengendalikan perbicaraan itu telah terkhilaf daripada segi undang-undang dalam mensabitkan mereka kerana terdapat kesilapan teknikal.

Aspek teknikal itu ialah saksi-saksi pendakwaan tidak memberikan keterangan secara bersumpah semasa perbicaraan dan ahli kimia dan pakar patalogi juga tidak menyatakan kepakaran dan pengalaman mereka semasa memberikan keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache memaklumkan mahkamah yang beliau memerlukan masa untuk berunding dengan pegawai atasannya berhubung perkara itu.

Pada prosiding hari Rabu, ketiga-tiga mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan membunuh tanpa niat selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan kepada mereka.

Semasa mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Suriyadi berkata selepas membaca fakta kes, mahkamah mendapati hukuman penjara 18 tahun itu adalah sesuai.

Asalnya, mereka dituduh membunuh pengedar kereta terpakai, Mohd Saiful Bahari Ghazali, di tempat letak kereta di belakang bangunan Kuantan Parade di Kuantan, Pahang, pada kira-kira 5 pagi, 25 Julai, 2002.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 November 2005, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka selepas mereka didapati bersalah bagi pertuduhan membunuh.

Hisyam yang mewakili Khairul Adli, dalam rayuannya berkata mahkamah patut memberikan pertimbangan kepada faktor umur sebelum menjatuhkan hukuman kerana anak guamnya itu hanya berumur 20 tahun pada masa kejadian dan baru menamatkan pengajian di kolej.

Karpal Singh yang mewakili Noorazli dan Mohd Aswandi, memberikan contoh beberapa kes jenayah, meminta mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Ahmad Bache pula berkata mahkamah patut menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun terhadap ketiga-tiga tertuduh demi kepentingan awam .

Beliau berkata menurut laporan bedah siasat, mangsa mati akibat kecederaan di kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

Menurut fakta kes, kejadian itu berpunca daripada pergaduhan selepas mangsa menyoal seorang daripada tiga tertuduh mengenai bayaran ansuran bulanan kereta. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain