Tiga Ditahan Edar Dadah Di Ibu Negara - Semasa | mStar

Tiga Ditahan Edar Dadah Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM34,000 di dua lokasi berasingan di sekitar ibu negara pada minggu ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Sharifah Hawariah Syed Idrus berkata kesemua suspek yang ditahan dipercayai telah bergiat aktif sejak lima bulan lalu di sekitar ibu negara.

"Sindiket ini dianggotai warga tempatan yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam operasi pertama, sepasang kekasih yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 41 tahun ditahan bersama ketamin seberat 223.18 gram, syabu 13.54 gram dan 30 biji Eramin 5 bernilai RM30,000 di sebuah rumah di Taman Connaught, Cheras Isnin lepas kira-kira pukul 5 petang.

"Suspek lelaki bekerja sebagai mekanik dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan memiliki dadah manakala suspek wanita tidak bekerja.

"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM984. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 21 Nov," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu teksi berumur 47 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam dipercayai mengedar heroin seberat 39.83 gram yang bernilai RM4,000 di sebuah kedai lampu di Jalan Pahang di sini.

Sharifah Hawariah berkata pemandu teksi itu merupakan orang yang dikehendaki di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bersabit kesalahan menipu dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan suspek kini ditahan reman sehingga Selasa ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna biru dengan nombor pendaftaran KBH 5634 daripada lelaki itu.

"Dua suspek lelaki itu didapati positif dadah mekanik itu didapati positif methamphetamine manakala pemandu teksi positif opiate," katanya.

Kes disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain