suria

Sindiket Curi Kereta Mewah Sekitar Lembah Klang Tumpas

SUBANG JAYA: Polis menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah, samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang dengan penahanan dua lelaki yang disyaki anggota kumpulan itu dalam operasi berasingan minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata dalam operasi pada 12 Nov lepas, polis menahan seorang lelaki yang dalam lingkungan umur 20an di Pandamaran, Klang pada 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati suspek terlibat dalam satu kes curi kereta mewah di Taman Tun Dr Ismail (di Kuala Lumpur) Oktober lepas.

"Penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah kereta BMW dan Audi A4 yang dilaporkan hilang Julai lepas di Subang Jaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tiga hari sebelum serbuan berkenaan polis menahan seorang lelaki juga dalam lingkungan umur 20an kerana kesalahan dadah yang diyakini turut terbabit dalam sindiket yang sama.

Berikutan penahanan suspek, Zainal Rashid berkata polis berjaya menyelesaikan persoalan berhubung penemuan kereta Chevrolet dan Porche Julai dan Ogos lepas di Brickfields yang dipercayai hasil samun sindiket terbabit.

"Kesemua kereta mewah yang dirampas itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan nilai pasaran hampir RM2 juta," kata beliau.

Katanya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang termasuk dua kes di Subang Jaya.

Bagaimanapun katanya polis masih memburu dua lagi anggota sindiket itu dan percaya seorang daripada suspek yang ditahan adalah ketuanya.

Katanya, sindiket bergiat aktif sejak 11 bulan lepas manakala anggotanya akan bersenjatakan parang dan pisau, memecah masuk rumah, menyamun sebelum melarikan kereta mewah milik mangsa.

Zainal Rashid berkata kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain