suria

Reaksi Pelbagai Pihak Berhubung Kes Dr Asri

Dr Asri di samping Datuk Seri Shahidan Kassim dan Azwan Ali ketika di Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Dr Asri di samping Datuk Seri Shahidan Kassim dan Azwan Ali ketika di Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Dr Asri di samping Datuk Seri Shahidan Kassim dan Azwan Ali ketika di Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Dr Asri memberikan ceramah tanpa tauliah turut mendapat reaksi pelbagai pihak.

Antaranya selebriti Azwan Ali, wakil NGO Datin Paduka Marina Mahathir, ahli politik Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dan para penyokongnya.

Menurut Azwan, sebagai seorang artis ini merupakan pertama kali dia datang ke mahkamah melibatkan kes orang lain.

Azwan berkata dia nekad untuk hadir ke perbicaraan itu atas tiga sebab.

"Saya tergerak hati untuk datang kerana kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan tentang apa motif menangkap Dr Asri.

“Keduanya kerana kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad iaitu jangan cepat tahan orang.

“Ketiga, kes ini menunjukkan ‘Melayu-Melayu pendengki sebenar’ yang belum terjawab di mahkamah,” komen Azwan ketika hadir mendengar perbicaraan itu.

Dia juga sempat berpesan kepada pihak Jais yang sewenang-wenangnya menuduh Dr Asri mengajar agama Islam tanpa tauliah. Menurutnya, pihak Jais dilihat kurang bersedia ketika mengemukakan hujah perbicaraan pada pagi tadi.

“Nak jolok orang, kena ada bukti. Saya tengok pihak Jais ‘terkial-kial’ yang menunjukkan mereka tidak bersedia untuk mendakwa orang.

“Sebagai pelajar Undang-Undang kelas kedua dengan kepujian dari Universiti Malaya, saya juga boleh menjadi peguam yang mewakili Dr Asri tetapi saya tiada tauliah,” ujarnya dalam nada teruja ditambah pula baru pertama kali berpeluang berjumpa dengan ulama terkenal itu.

Azwan menyifatkan Dr Asri seorang yang ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.

“Saya menyokong Dr Asri kerana wajah beliau mempunyai cahaya ‘nur’ yang menunjukkan dirinya yang sebenar. Mungkin kes ini tidak berpihak kepadanya tetapi ia ‘maha hikmah’ kerana akan menunjukkan budaya-budaya Melayu yang membenci Melayu.

“Beliau bukannya mengajar ajaran sesat seperti Rasul Melayu Abdul Kahar Ahmad tetapi dia bercakap tentang perkara yang menyentuh agama Islam. Lainlah kalau (ajaran) itu membuatkan penduduk di Ukay Perdana sengsara selepas mendengarnya..,” luah Azwan penuh bersemangat.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang selama ini menyokong aspirasi Dr Asri menekankan tuduhan Jais itu terlampau umum.

“Dr Asri mengajar perkara berkaitan agama Islam dan tuduhan mengatakan beliau mengajar tanpa tauliah adalah tidak spesifik. Saya dah ikuti semua kes perbicaraan dalam surat khabar dan semua pertuduhan lebih khusus.

“Kes ini berprofil tinggi, jadi mereka (Jais) perlu memberitahu yang khusus iaitu ajaran apa. Kalau mereka beri dakwaan umum, ia seolah-olah memberikan gambaran yang kurang sihat atau waras kepada orang lain tentang agama Allah.

“Agama Islam luas, mengenai pokok dan langit berkaitan dengan agama Islam. Jadi adakah apabila menyebut tentang langit adalah salah? Kalau salah, tiada masalah,” tegasnya.

Shahidan sempat berseloroh mengenai isu Wahabi yang turut dikaitkan dengan Dr Asri sebelum ini.

“Saya baru balik dari Padang, Indonesia. Saya juga ada tanya kepada orang Islam di sana tentang Wahabi dan mereka tidak faham. Bagi saya, Wahabi merupakan orang yang baik-baik seperti saya dan kami tidak bergaduh dengan orang,” katanya dalam nada bergurau.

Shahidan turut membawa rombongan penyokong Dr Asri dari Perlis dengan menaiki dua buah bas untuk mengikuti perbicaraan di mahkamah itu, hari ini.

Dalam pada itu, anak Tun Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir meluahkan perasaan bangganya dengan keputusan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad yang mendengar kenyataan kedua-dua belah pihak dan memberi sebab musabab yang baik mengenai sebab beliau menolak untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

“Ada lima sebab yang diberikan oleh Hakim. Antaranya, tuduhan pendakwa tidak munasabah. Selain itu, proses penghakiman di sini agak cepat juga kerana kes ini ditangguhkan sehingga 5 Januari depan,” kata Marina.

Beliau menyarankan agar pihak pendakwa memberikan pertuduhan yang lebih jelas.

“Membaca Bismillah merupakan perkara berkaitan Islam. Tak masuk akal dan spesifik (tuduhan) kerana maksudnya terlalu luas jika beliau dikatakan mengajar berkaitan Islam tanpa tauliah.

“Jais dah sebar kepada media dan telah memprejudiskan hal orang yang dituduh. Kalau boleh kita mahukan ‘trial’ yang adil,” tambahnya lagi yang turut sama mendengar perbicaraan itu.

Sementara itu, Aszuad Zakaria, pengasas kelab penyokong Dr Asri di laman web FaceBook ‘Kami Menyokong Dr Asri Zainul Abidin’ mengucapkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah sekaligus berharap kes ini menemui jalan kebaikan.

“Alhamdulillah, kita sudah nampak jalan yang diberikan kepada Dr Asri. Kita harap jalan yang baik kerana hari ini memberikan permulaan yang baik untuk beliau.

“Sebagai salah seorang penyokong, saya juga berharap sesama Islam dapat selesaikan dengan cara yang baik,” luahnya.

Pengurus artis seperti In Heart, Naizle dan Sabhi Saddi itu yang sudah lama mengikuti perjuangan dan aktiviti Dr Asri mula tergerak hati untuk bersuara apabila berlakunya isu penahanan bekas Mufti Perlis ini.

“Kalau orang dah sampai buat beliau seperti penjenayah, mestilah kita rasa tercabar.

“Ramai juga penyokongnya di FaceBook dan memberikan nasihat supaya Dr Asri tidak berputus asa termasuk juga artis-artis seperti Adibah Noor, In Heart, Naizle, Sabhi Saddi.

“Kepada remaja, saya galakkan mereka untuk terus-menerus memberikan sokongan kepada Dr Asri di FaceBook,” akhiri Aszuad.

Terdahulu, kes bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini atas dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah.

8.20 pagi - Mohd Asri tiba di perkarangan mahkamah bersama bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan diiringi seramai kira-kira 50 orang penyokong termasuklah yang datang dari Perlis. Difahamkan lebih ramai penyokong dari Perlis akan hadir.

Pengacara popular, Azwan Ali adalah antara selebriti yang turut turun padang memberikan sokongan kepada Mohd Asri. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin

9.20 pagi - Datin Paduka Marina Mahathir tiba di mahkamah untuk turut memberikan sokongan

9.55 pagi - Mohd Asri masuk ke mahkamah diiringi beberapa peguam yang diketuai oleh Kamar Ainiah. Keadaan di dalam dan luar mahkamah sesak dengan pihak media dan para penyokong Mohd Asri.

Artikel Berikut

Artikel Lain