suria

Mangsa Banjir Di Perak Meningkat Kepada 1,225

IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 1,225 orang sehingga pukul 10 pagi ini berbanding 1,083 orang semalam.

Jurucakap Polis Bilik Gerakan Balai Polis Daerah Kerian berkata seramai 142 orang mangsa banjir yang terbaru dipindahkan tengah malam tadi dan kesemua mangsa terbabit berada di lapan buah pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Kampungkampung terbabit ialah Kampung Changkat Lobak, Kampung Selekoh, Kampung Beriah, Kampung Simpang Empat, Kampung Simpang Lima, Kampung Matang Tengah, Kampung Sungai Semambu, Kampung Matang Pasir, Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian dan Kampung Yau Shin.

Hujan lebat yang berterusan sejak seminggu lepas serta limpahan dari empangan Bukit Merah menyebabkan kawasan terbabit terus ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter, katanya ketika dihubungi hari ini.

Jalan Bagan Serai ke Selama di KM 10 hingga 17 masih ditutup kepada semua lalu lintas, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain