suria

Keputusan Untuk Ambil Alih Kerugian Talam Corp Akan Diteruskan - MB S'gor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan cadangan kontroversi untuk mengambil alih tanggungan hutan Talam Corporation berjumlah RM391.7 juta.

Katanya, keputusan itu adalah urusan kerajaan negeri. Ia adalah satu keputusan yang sukar difahami kerana urusan ini memerlukan pemahaman yang tinggi dalam soal teknikal.

"Urusan ini menuntut seseorang yang memiliki tahap perakaunan yang tertentu untuk memahami keseluruhan proses pengambilalihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Khalid juga menjelaskan, semua perkara yang berkaitan dengan pengambilalihan itu telah pun melalui proses konsultansi yang mendalam dengan para akauntan dalaman serta pengurus besar semua anak syarikat yang terlibat dalam urusan ini.

“Dah tentu dalam urusan ini, matlamat kita ialah untuk melindungi kepentingan awam," tegas beliau.

Ketika ditanya, siapakah konsultan dalaman yang beliau maksudkan, Khalid secara bersahaja menjawab; “Konsultan itu adalah Khalid Ibrahim kerana saya orangnya yang membuat cadangan tersebut dan saya akan memastikan proses pelaksanaannya nanti."

“Dan kos untuk konsultansi dalaman itu adalah percuma melainkan saudara-saudari semua nak saya caj kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri, Teresa Kok turut mempertahankan keputusan itu sebagai satu langkah yang betul untuk menebus semula kerugian yang dialami.

Beliau sebaliknya menyalahkan Barisan Nasional (BN) di atas kegagalan untuk mengutip semula kerugian tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

Teresa juga mempertahankan Kerajaan Negeri yang sebelum ini diserang oleh beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat yang mempertikaikan keputusan untuk mengambilalih kerugian Talam Corp.

Katanya, setiap minggu kerajaan negeri perlu membuat keputusan melibatkan pelbagai isu dan adalah mustahil untuk Exco melaporkan kepada parti masing-masing apa yang telah diputuskan.

Beliau mengharapkan para pemimpin PKR, DAP and PAS perlu meletakkan kepercayaan masing-masing kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh PR.

Semalam Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim telah mengirim e-mail kepada semua ahli parlimen parti itu dan juga ahli dewan undangan negeri mempertikaikan langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 9 November lalu, Sidang Dewan Undangan Negeri telah meluluskan bajet tambahan berjumlah RM391.7 juta untuk sayap pelaburan Kerajaan Negeri, iaitu Perbadanan Menteri Besar membeli hutang yang ditanggung Talam Corp kepada beberapa agensi kerajaan negeri.

Jumlah hutang itu termasuklah hutang Talam dengan PKNS, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) and Universiti Selangor (Unisel).

Artikel Berikut

Artikel Lain