suria

Kastam P. Pinang Rampas 2.7 Juta Batang Rokok Seludup

BUTTERWORTH: Kastam Pulau Pinang berjaya merampas 2.7 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta termasuk duti, yang cuba diseludup masuk ke negeri ini dalam operasi berasingan baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Matrang Suhaili berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya menahan sebuah van di jalan pintu keluar MAS Kargo, Bayan Lepas dekat sini kira-kira pukul 12.20 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan ke atas van yang ditahan itu, kita merampas 1.6 juta batang rokok putih jenama Star tanpa sebarang dokumen dan belum lulus Kastam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan lanjut mendapati rokok-rokok bernilai RM866,811 termasuk duti yang dirampas dalam serbuan berkenaan dibawa masuk melalui jalan udara dari Bangladesh.

Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang masing-masing merupakan pemandu van berkenaan dan agen penghantaran.

"Dalam operasi pada 14 November lepas, sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam telah menahan dua buah van di Kilometer 122 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara," katanya.

Matrang berkata hasil pemeriksaan pihaknya berjaya merampas hampir 1.1 juta batang rokok kretek jenama Gudang Garam Surya bernilai RM618,710 termasuk duti dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

"Kedua-dua pemandu van berkenaan melarikan diri dengan sebuah kereta yang mengekori mereka dan kita percaya mereka dari sindiket yang sama," katanya.

Matrang berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam kes berasingan, Kastam merampas 3,846 biji pil Psikotropik bernilai RM38,560 di jeti ikan Kuala Muda dekat sini pada 9 Nov lepas, katanya.

"Kira-kira pukul 12 tengah hari kita menerima maklumat mengenai penjualan dadah di belukar berhampiran jeti berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut di situ menemui pil Psikotropik berkenaan, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat," katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Matrang berkata sehingga 17 Nov, Kastam Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis barang larangan antaranya mercun, bunga api, dadah, rokok, minumam keras dan tayar, yang bernilai RM45 juta termasuk cukai di negeri ini.

"Dalam tempoh yang sama kami memperoleh 236 kes melibatkan pelbagai kesalahan menurut Akta Kastam 1967 dan seramai 208 orang disyaki terlibat dalam penyeludupan ditahan untuk siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain