suria

Dua Pegawai Polis Bebas Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu

KUALA TERENGGANU: Dua pegawai polis hari ini dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada 2003.

Hakim M Bakri Abdul Majid membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

"Pihak pendakwa gagal membuktikan butiran matan palsu seperti yang didakwa dan sehubungan itu mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan itu," katanya.

DSP Ahmad Saad, 48, yang kini bertugas di Sarawak dituduh mengemukakan tuntutan palsu terhadap nilai bekalan makanan dan minuman serta lainlain tuntutan sebanyak RM46,050 berkaitan dengan program pencegahan jenayah Jabatan Siasatan Jenayah IPK pada Disember 2003 sedangkan jumlah yang sebenar ialah RM2,500 saja.

ASP Mohd Fadzir Mahmud, 52, yang kini bertugas di Kedah pula dituduh bersubahat dengan Ahmad melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh yang sama.

Ketika itu Ahmad berpangkat Cif Inspektor.

Ahmad diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed manakala Mohd Fadzir diwakili peguam Mazlan Md Zin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Nazrul Nizam Mohamad Zamri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain