suria

Dr. Asri Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Asri, 38, didakwa melakukan kesalahan di sebuah premis kediaman beralamat No. 2 Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara pukul 8.10 malam sehingga 9.45 malam pada 1 November lalu.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pagi ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Abdul Shukor Abdul Hamid dan dibantu oleh Pegawai Pendakwa Syarie, Zusyarafain Yusof.

Manakala Mohd Asri diwakili oleh Peguam Syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman dan Jamal Mohd Lokman Sulaiman.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad sebelum itu menolak permohonan pendakwa untuk menggantung prosiding bagi kes ini.

Selain itu pihak pendakwaan juga gagal dalam permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam kerana mengemukakan alasan yang kurang munasabah.

"Perpindahan kes hanya dibenarkan oleh mahkamah ini jika pendakwa mengemukakan alasan yang benar-benar munasabah dan melibatkan kepentingan awam dan bukannya melibatkan kepentingan individu.

"Mahkamah berpandangan kes ini hendaklah disegerakan iaitu dibicarakan dan pemindahan kes akan menyebabkan berlaku tangguhan yang memberi prejudis kepada tertuduh dan subjudis kepada pihak mahkamah kerana isu pemindahan kes ini telah dimaklumkan kepada media massa terlebih dahulu oleh pihak JAIS sebelum kes didaftarkan ataupun disebut di mahkamah," kata Wan Mahyuddin.

Dalam keputusan lisannya, Wan Mahyuddin berkata tindakan tersebut boleh mengganggu proses keadilan dan perbicaraan kerana Mahkamah Rendah Syariah sahaja yang berhak meluluskan apa-apa permohonan dari pihak pendakwa.

Selain itu hakim juga menolak alasan pihak pendakwa yang mengatakan kes ini perlu dipindahkan ke peringkat yang lebih tinggi kerana tertuduh merupakan individu yang berpengaruh.

"Dakwaan kes ini banyak melibatkan pemakaian undang-undang dan prosedur yang melibatkan tertuduh yang berpengaruh bukanlah alasan yang munasabah yang patut untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

"Ini kerana kes mengajar tanpa tauliah telah banyak didakwa di Mahkamah Rendah Syariah tanpa ada apa-apa masalah, pihak perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah," katanya.

Sebelum itu, pada 12 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan afidavit permohonan pemindahan kes.

Pada prosiding yang berlangsung selama hampir satu jam bermula pukul 9.45 pagi tadi, Kamar Ainiah membantah kandungan pertuduhan yang menyatakan bahawa anak guamnya dikatakan mengajar agama Islam tanpa tauliah tanpa memberikan butir-butir dengan jelas, tepat serta tidak menyatakan skop sebenar tauliah itu.

"Saya meminta kepada pihak pendakwa agar mengkhususkan skop pertuduhan itu kerana pelbagai pihak akan membuat tafsiran, mungkin saya buat tafsiran lain dan peguam lain akan buat tafsiran lain pula," katanya.

Selain itu seorang lagi peguam pihak pembela, Jamal Mohd memberitahu mahkamah bahawa kertas pertuhuan yang diserahkan kepada pihaknya tidak menepati format.

"Afidavit yang dikemukakan iaitu untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi oleh pihak pendakwa pada 12 November lalu sebenarnya telah melangkaui pertuduhan pada pagi ini dan ini tidak menepati format yang sepatutnya dilakukan," katanya.

Malah beliau juga berkata tindakan pihak pendakwaan membuat permohonan pemindahan kes itu seperti menghina mahkamah dan hakim yang mendengar kes ini kerana seolah-olah menyatakan mahkamah dan hakim yang ada tidak layak.

Selain itu menurutnya, jika kes ini dipindahkan, ia seolah-oleh menafikan hak anak guamnya bagi proses rayuan di peringkat seterusnya.

"Jika dibenarkan, anak guam kami akan dinafikan hak bagi proses rayuan nanti iaitu Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, dan pihak pendakwa menyatakan tertuduh mempunyai pengaruh besar yang akan mengganggu proses perbicaraan adalah tidak relevan.

"Pihak pembelaan juga berpendapat afidavit itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak," katanya.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim membenarkan Mohd Asri dilepaskan dengan bon jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Rakan kepada Mohd Asri, Mohd Md Sadik dan Mohd Ismail Mirasa bertindak sebagai penjamin.

Mahkamah menetapkan pada 5 Januari depan untuk kes dibicarakan.

Artikel Berikut

Artikel Lain