suria

Lelaki Miliki Pistol Dipenjara 12 Tahun, Enam Sebatan

PULAU PINANG: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol dan tujuh butir peluru tanpa lesen dan mengugut seorang penjawat awam, tahun lepas.

Hoo Kok Chye, 34, dituduh melakukan kesalahan itu di rumah tidak bernombor di Jalan Masjid Negeri pada 5.50 petang, 13 Januari, 2008.

Hakim Rosilah Yob dalam penghakimannya berkata mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah turut mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam kerana tertuduh telah mengugut seorang penjawat awam yang sedang bertugas menguatkuasakan undang-undang, katanya.

Bagi kesalahan memiliki sepucuk pistol tanpa lesen, Hoo dihukum penjara lapan tahun dan enam sebatan dan penjara empat tahun, masing-masing bagi pertuduhan memiliki tujuh butir peluru dan mengugut penjawat awam.

Bagaimanapun, Hoo hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan selepas Hakim Rosilah memerintahkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan pertama dan empat tahun bagi pertuduhan kedua dijalankan serentak.

Hoo diwakili peguam Rosli Ismail manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail. BERNAMA

Artikel Lain