suria

Kompleks Mahkamah Muar Kecoh Terima Panggilan Ancaman Bom

MUAR: Lebih 100 orang termasuk hakim, peguam, pegawai mahkamah dan orang-ramai diarahkan meninggalkan Kompleks Mahkamah di sini selepas pejabat Mahkamah Sesyen menerima panggilan ancaman bom.

Pemanggil itu, dipercayai seorang berketurunan Cina tetapi bertutur dalam bahasa Melayu, telah menelefon pejabat Mahkamah Sesyen pada lebih kurang jam 8.55 pagi dan memberi amaran kepada seorang kakitangan mahkamah bahawa terdapat bom dalam bangunan tersebut.

Kakitangan wanita yang menjawab panggilan tersebut terus melaporkan amaran itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Norazalan Ahmad.

Ancaman tersebut terus dilaporkan kepada pihak polis yang dengan segera menghantar sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan mengarahkan semua orang mengosongkan kompleks berkenaan.

Seorang staf mahkamah ketika ditanya berkata, tidak ada kes besar yang dibicarakan hari ini melainkan beberapa kes lelongan rumah dan juga tanah dijadualkan berlangsung hari ini.

“Mungkin seseorang yang hartanya akan dilelong hari ini cuba melenggahkan prosiding atau cuba membuatkan kes itu terangguh, “ kata staf berkenaan yang enggan membenarkan namanya dipetik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Polis Mohammed Nasir Ramli berkata, pihaknya telah menghantar skuad pemusnah bom untuk mengeledah keseluruhan kompleks mahkamah selama lebih empat jam tetapi tidak menemui apa-apa.

Selepas berpuashati kompleks berkenaan selamat, pihak polis katanya membenarkan urusan harian mahkamah disambung semula pada lebih kuran jam 1.25 petang.

Katanya, ini adalah insiden kedua melibatkan panggilan palsu ancaman bom di kompleks mahkamah di sini dan pihak polis berazam untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik panggilan palsu ini. Kali pertama ia berlaku pada Julai lalu.

Artikel Lain