suria

Bekas ADUN Kota Siputeh Fail Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kerusi itu kosong dan beliau tidak lagi wakil rakyat kawasan itu.

Abu Hassan memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 1.35 tengah hari melalui peguam yang mewakilinya Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Salinan notis rayuan itu akan diserahkan kepada peguam yang mewakili Speaker Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail dan Pejabat Peguam Negara, kata Mohd Hafarizam semasa dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, semasa membenarkan semakan kehakiman oleh Abdul Isa, memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hassan menghadiri dua sidang dewan pada tahun ini.

Berikutan keputusan itu, Abu Hassan dari Barisan Nasional, dilarang menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan Kota Siputeh yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerlun di Kedah. BERNAMA

Artikel Lain