suria

Seramai 55,635 Calon Duduki Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

KUALA LUMPUR: Seramai 55,635 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 758 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 18 November hingga 10 Disember depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (MPM), seramai 48,774 calon adalah daripada sekolah kerajaan, 1,632 calon sekolah swasta, 4,768 calon persendirian individu, 457 calon sekolah kerajaan negeri dan empat calon Sekolah Integriti.

Jika berlaku sebarang bencana alam, seperti banjir atau tanah runtuh dan calon mendapati sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan, calon dinasihati ke pusat peperiksaan berdekatan dan melaporkan kepada diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan itu untuk menduduki peperiksaan pada hari berkenaan.

Bagi calon yang menghidap atau disyaki menghidap wabak Influenza A (H1N1), calon hendaklah menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi menduduki peperiksaan.

Menurut kenyataan itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika peperiksaan sedang berlangsung, MPM membuka bilik gerakan yang beroperasi mulai pukul 7.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat. Bilik gerakan itu boleh dihubungi di 0361302666/ 61352035/ 61352390/ 61352316.

Sementara itu, calon-calon turut dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC1 atau LPKC2) sepanjang peperiksaan berlangsung.

Calon yang masih tidak menerima atau kehilangan laporan pendaftaran itu boleh melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my untuk mendapatkan dan mencetak butiran pendaftaran mereka. -BERNAMA

Artikel Lain