suria

Pelajar Perempuan Dijumpai Di Pulau Pinang Selepas Dilapor Hilang Di Selangor

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang di Selangor Rabu lepas, dijumpai di Pulau Pinang semalam.

Pelajar tingkatan dua itu ditemui pukul 10 pagi di sebuah rumah bersama-sama seorang tukang masak restoran yang kini dalam tahanan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya yang dihubungi berkata suspek yang berumur 23 tahun itu ditahan bersama mangsa di rumahnya oleh sepasukan anggota polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Katanya keluarga pelajar itu percaya dia diculik dan dirogol.

Pelajar itu dilaporkan hilang oleh abangnya Rabu lepas apabila dia tidak pulang ke rumahnya di Batang Kali, Selangor, selepas keluar tanpa pengetahuan keluarga.

"Mangsa dipercayai diculik berikutan suspek ada menghubungi keluarga dan mengaku membawa mangsa ke Johor Bahru sebelum mereka ditahan di Pulau Pinang," katanya.

Suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk siasatan lanjut manakala mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik. BERNAMA

Artikel Lain