suria

Nallakarupan Diperintah Beri Butiran Lanjut Kepada Anwar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) Datuk S. Nallakarupan memberikan butiran lanjut mengenai dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima duit RM60 juta daripadanya dan juga daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd.

Hakim Datin Zabariah Yusof membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Nallakarupan terhadap perintah Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos lepas yang membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan butiran itu.

Zabariah, yang membuat keputusan itu dalam kamar, memerintahkan Nallakarupan memberikan butiran yang dikehendaki itu kepada Anwar, iaitu siapa yang berikan duit itu, bila, tarikh dan tempat duit itu diberikan, dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Perkara itu dinyatakan kepada Bernama oleh peguam S.N.Nair dan Wan Anuar Wan Syahadat yang mewakili Anwar.

Nallakarupan yang diwakili peguam S.Murali, disaman Anwar, yang juga Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, berhubung artikel bertajuk "Anwar terima RM60 juta" yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian sekitar Ogos 2008 kerana mendakwa Nallakarupan bercakap sesuatu yang tidak benar mengenainya (Anwar).

Nallakarupan dalam pernyataan pembelaannya berkata bahawa Anwar ada menerima wang itu daripadanya dan juga daripada Magnum Corporation. BERNAMA

Artikel Lain