suria

Mahkamah Arah Suri Rumah Campak Bayi Jalani Pemeriksaan Mental

KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini ini atas dakwaan cubaan membunuh anaknya berusia dua bulan dengan mencampakkan bayi perempuan itu ke dalam perigi berhampiran rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam dekat sini, minggu lepas.

Maznah Raimuddin @ Mustaffa, 26 dituduh melakukan perbuatan itu pada kirakira 10 pagi, Selasa lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang memakai baju lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan bertudung warna merah yang kelihatan tidak sihat dan murung, hanya tunduk ketika kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh. Tiada pengakuan dicatatkan.

Hakim Che Mohamad kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan menetapkan 27 Disember bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian pada 10 November lalu, bayi perempuan itu berjaya diselamatkan oleh datuknya Raja Ibrahim Raja Ali, 64, yang bertindak nekad dengan terjun ke dalam perigi untuk menyelamatkan cucunya itu.

Siasatan awal polis sebelum ini mendapati wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai menghadapi tekanan perasaan dan meroyan selepas melahirkan anak ketiganya itu. BERNAMA

Artikel Lain