suria

Lelaki Syak Anak Bukan Mati Lemas, Mahu Polis Siasat Unsur Jenayah

NIBONG TEBAL: Keluarga seorang pemandu van yang ditemui lemas di Sungai Udang di sini awal bulan ini meminta polis menyiasat semula punca kematiannya kerana mendakwa terdapat unsur jenayah.

S.Govindasamy, 59, bapa mendiang G.Guakanthan, 31, mahu supaya kubur anaknya di Tanah Perkuburan Hindu Jawi digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap mayat anaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya itu.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau mendakwa tiada bedah siasat dilakukan oleh pihak Hospital Sungai Bakap semasa mayat anaknya dibawa ke situ pada 4 Nov lepas dan doktor hanya memaklumkan bahawa Guakanthan mati lemas.

Govindasamy berkata bahawa semasa mengecam mayat mendiang, terdapat kecederaan di muka yang ketara iaitu sebelah biji matanya terkeluar, gigi patah dan kesan luka di pipi, yang menurut polis akibat digigit biawak.

Menurutnya keraguan terhadap punca kematian anaknya itu timbul berdasarkan pesanan Guakanthan kepada rakannya supaya membuat laporan polis jika berlaku sesuatu terhadapnya atau dia tidak pulang selepas menemui seorang lelaki pada 1 November lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi berkata polis memang sudah membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan mengambil keterangan daripada rakan Guakanthan dan sedang mengesan seorang lelaki bernama Gopal bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain