suria

Jawatan Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar cuba alihkan perhatian berhubung kes liwatnya

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman menyifatkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri itu merupakan satu percaturan politik untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kes liwat yang sedang dihadapi oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

“Ini Anwar akan buat untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kes liwatnya. Saya berpendapat bahawa pelantikan ini (Anwar) amatlah pelik kerana Menteri Besar Selangor (MB) Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi sedangkan Anwar pula hanya mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Melayu.

“Persoalannya adalah mengapa Khalid perlu melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonmi Selangor sedangkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan pun tidak pula melantiknya (Anwar). Adakah wujud desakan ke atas Khalid untuk membuat pelantikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, beliau dan pemimpin Umno negeri percaya bahawa perkara tersebut berlaku kerana Anwar terkenal dengan sifat licik dalam merangka percaturan politiknya.

Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor mengumumkan bahawa Anwar dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri Selangor berkuatkuasa serta-merta

Menurut Khalid pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti Penasihat PKR itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan dan pentadbiran kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Satim yang Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang berkata, terdapat beberapa kemungkinan Anwar mahu dilantik sebagai Penasihat Ekonomi negeri itu, pertama kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu ingin membina platform politik yang lebih kukuh untuk Azmin Ali yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

“Modus operandi yang berlaku di Sabah adalah contoh terbaik. Apabila percaturan untuk Azmin gagal di Sabah, jawatan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan telah diambil dari Khalid dan diberi kepada Azmin.

“Jawatan MB Selangor adalah satu platform yang amat baik untuk karier politik Azmin,” katanya.

Jelasnya, pelantikan tersebut adalah langkah catur pertama yang dilakukan Anwar di Selangor sama seperti apa yang telah dibuat di terhadap bekas Pengerusi PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan.

“Jika dilihat kepada starategi baru Anwar, beliau dijangka akan melancar serangan terhadap Perdana Menteri sehingga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan pelantikan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri adalah satu strategi yang baik baginya.

“Jika ekonomi Selangor hancur sudah pasti ekonomi negara pun hancur. Apabila ini berlaku maka rakyat yang menderita dan mereka pasti akan memberontak,” katanya.

Satim berkata, keadaan tersebut merupakan suasana yang amat bagus untuk Anwar mengambil alih kuasa dan terus menutup kes liwatnya.

“Anwar juga sangat bimbang dengan ketidakstabilan kuasa politik di Selangor iaitu hubungan dua pemimpin PKR-PAS, iaitu Khalid dan Azmin serta isu ADUN yang keluar PR,” katanya.

Justeru itu, Anwar terpaksa mengambil alih beberapa peranan politik dari Khalid dan pelantikan Penasihat Ekonomi negeri itu hanya merupakan satu alasan di mata rakyat.

“Anwar akan guna jawatan ini untuk kepentingan politik beliau sebab kita pun tahu cara dan taktik Anwar semasa beliau dalam Umno. Saya pasti bahawa selepas dilantik beliau akan membuat pengumuman untuk memberi ‘ole-ole’ kepada rakyat Selangor,” katanya.

Artikel Lain