suria

Azmin Saman Vigneswaran

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali pagi Isnin mengesahkan bahawa beliau telah memulakan prosiding undang-undang ke atas bekas Ketua Pemuda MIC, S.A. Vigneswaran kerana memfitnahnya.

Minggu lalu, Vigneswaran mendakwa beliau telah menerima satu dokumen yang ditinggalkan di kediamannya di Kota Kemuning yang mengandungi butiran-butiran mengenai pembelian saham-saham oleh Azmin serta isteri dan adik iparnya bernilai RM8.5 juta pada awal tahun 1990an.

Vigneswaran kemudiannya telah memanggil satu sidang akhbar untuk mendedahkan butiran-butiran tersebut dan meminta Azmin menjelaskan bagaimanakah beliau memperolehi wang untuk membeli saham-saham tersebut.

Ini kerana pada waktu itu, Azmin masih berkhidmat dengan kerajaan sebagai setiausaha sulit kepada menteri kewangan.

“Rabu ini satu notis akan dikemukakan ke atas Vigneswaran kerana membuat dakwaan palsu ke atas saya yang merupakan satu fitnah dan pembohongan,” kata Azmin.

Azmin berkata, Vigneswaran gagal mendapatkan menjelasan berhubung kesahihan dokumen tersebut sebaik sahaja menerimanya.

“Sesiapa sahaja wajar memahami bahawa tindakan Vigneswaran itu adalah satu tindakan yang terdesak untuk menghidupkan semula nyawa politiknya tetapi malangnya beliau terlalu terdesak sehingga sanggup meletakkan dirinya di bawah sekali bagi mencari publisiti murahan,” kata Azmin ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Selangor.

Artikel Lain