suria

Pusat Penjagaan Rumah Orang Tua Menjadi Sarang Dan Taktik PATI

KUALA LUMPUR: Pusat penjagaan rumah orang tua kini menjadi sarang dan taktik terbaru yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyembunyikan diri daripada diberkas pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila seramai 175 orang warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh ditahan dalam serbuan Ops Nyah II selama tiga jam yang melibatkan sebuah Pusat Penjagaan Rumah Orang Tua Nan Yang Tasik Permai, sekitar kawasan Ampang dan kawasan bersepadan balai Ampang dan balai Pandan Indah di sini, yang bermula kira-kira 1.30 pagi Ahad.

Mereka yang terdiri daripada 85 lelaki termasuk seorang kurang upaya, 60 wanita dan 30 kanak-kanak itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan.

Ketika serbuan di pusat penjagaan rumah orang tua tersebut, polis mendapati hanya lapan orang warga emas tempatan yang tinggal di pusat penjagaan tersebut manakala seramai 18 PATI menyewa di pusat penjagaan itu, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut tentang penyewaan di pusat penjagaan tersebut kerana kami (polis) mendapat maklumat bahawa PATI telah menyewa tempat tersebut selama lima bulan yang lepas dan tindakan yang setimpal akan dikenakan terhadap tuan punya rumah (penyewa)," katanya yang tidak menolak kemungkinan penyewa menggunakan cara pantas ini untuk mendapatkan keuntungan.

Difahamkan, setiap PATI membayar sewa sebanyak RM300 hingga RM400 untuk sebilik di kawasan tersebut.

Beliau berkata operasi sedemikian akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan jenayah di tempat-tempat yang dipercayai menjadi sarang persembunyian PATI di sekitar Ampang Jaya.

Ops Nyah II itu melibatkan Polis Diraja Malaysia Daerah Ampang Jaya seramai 140 pegawai, Jabatan Imigresen Selangor seramai 48 pegawai, Pasukan Rela seramai 40 pegawai, Majlis Perbandaran Ampang Jaya seramai 40 pegawai, Jabatan Pendaftaran Negara seramai 20 pegawai dan seramai 10 anggota polis sukarela. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain