suria

Polis Kedah Rampas Syabu Ecstacy Bernilai Kira-kira RM80,000

ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan seorang lelaki dan merampas 65 paket dadah jenis syabu yang dianggar seberat 252 gram serta 55 biji pil ecstacy, yang bernilai kira-kira RM80,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Putra di sini malam Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Sentra, wang tunai RM44,122 dan sebuah komputer riba serta dua unit telefon bimbit dalam serbuan pada kira-kira pukul 9.45 malam itu.

Beliau berkata ia merupakan rampasan yang terbesar bagi polis Kedah tahun ini, dan menurutnya lelaki berumur 28 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Polis sedang giat mencari seorang lagi suspek dipercaya rakan lelaki itu yang turut menjadi dalang dalam kegiatan mengedar tersebut di Kedah," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini pada Ahad.

Asri berkata lelaki itu dipercayai bergerak aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lepas, terutama di pusat-pusat hiburan sekitar bandaraya Alor Setar, dan semasa serbuan dibuat, lelaki itu berada di rumah bersama bapanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain