suria

Pemuda PAS Sifatkan Isu Baiah Talak Tiga Sengaja Digembar-gembur Untuk Gambar PAS Zalim

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini berkata isu baiah atau sumpah taat setia talak tiga di kalangan wakil rakyat PAS ke atas isteri masing-masing jika mereka keluar parti, sengaja digembar-gemburkan bagi menggambarkan parti itu sebuah parti yang zalim terhadap wanita.

“Ini adalah satu percubaan untuk menggambarkan PAS sebuah parti yang negatif dan buruk dan ia bukan perkara baru. Dulu kita pernah dilabel sebagai parti yang anti-wanita dan didakwa tidak memberi peluang kepada wanita dalam hireraki parti serta pilihan raya.

“Kita harap dengan penjelasan yang dibuat itu akan dapat menutup segala persepsi yang salah tentang PAS,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang parti itu hanya mengamalkan baiah sumpah setia laknat bukannya amalan baiah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebelum ini.

Semalam, Mustafa berkata, amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasrudin berkata, perkara tersebut juga merupakan satu usaha untuk mengelirukan persepsi masyarakat terhadap PAS.

“Alhamdulillah kita dapat selesaikannya dengan menunjukkan bukti kepada mereka apakah sikap sebenar PAS.

“Hari ini kita sudah ada pemimpin wanita di peringkat pusat bahkan ada yang sudah dilantik sebagai wakil rakyat dan Senator. Jadi tidak timbul soal kita (PAS) nak memperdagangkan kaum wanita bahkan kita memperjuangkan hak mereka (wanita),” katanya.

Oleh yang demikian Nasrudin berkata, jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan isu tersebut daripada berpanjangan adalah dengan merujuk kepada pucuk pimpinan parti terlebih dahulu sebelum mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan.

“Apabila timbulnya sesuatu isu terutamanya isu baiah ini, ia cepat diperdebatkan oleh media, sedangkan pucuk pimpinan belum lagi keluarkan kenyataan.

“Sepatutnya pucuk pimpinan parti perlu dirujuk dan dijadikan sumber supaya dapat dijadikan pegangan dan apabila ia diabaikan maka timbul persepsi yang berbeza dalam hal ini,” katanya.

Nasrudin berkata, dengan keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti beliau yakin ahli-ahli parti akan dapat memahami dan masyarakat dapat menerimanya secara positif.

“Apabila keputusan sudah dibuat kita harap tidak ada lagi percanggahan. Ia merupakan satu mekanisma yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan konvensyen bersama-sama dengan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada bulan Januari tahun depan.

Beliau berkata, konvensyen itu diharap dapat memberi ruang kepada PAS untuk menjelaskan mengenai prinsip perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam.

“Ia (konvensyen) akan dapat membetulkan persepsi masyarakat tentang tohmahan yang mengatakan PAS tidak lagi mempedulikan isu-isu Islam yang berkait dengan prinsip perjuangan parti.

“Ini kita akan perbetulkan semula. Kita perlu jelaskan bahawa PAS akan tetap bersama-sama dengan dasar dan prinsip perjuangan parti,” katanya.

Bagaimanapun Nasrudin berkata, perkara tersebut tidak akan menjejaskan hubungan PAS dengan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

“PAS akan tetap memperjuangkan dasar dan prinsip perjuangan Islam namun hubungan kita dalam Pakatan Rakyat akan kekal harmoni dan kita akan saling hormat-menghormati dalam memperjuangkan prinsip perjuangan masing-masing,” katanya.

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain