suria

Lelaki Mengamuk Mati Ditembak

Mangsa, Mohd Taufik Norzan, 21, mati di tempat kejadian setelah ditembak polis di Kampung Guar Sanji dekat sini, hari ini.-Foto BERNAMA.
Mangsa, Mohd Taufik Norzan, 21, mati di tempat kejadian setelah ditembak polis di Kampung Guar Sanji dekat sini, hari ini.-Foto BERNAMA.
Mangsa, Mohd Taufik Norzan, 21, mati di tempat kejadian setelah ditembak polis di Kampung Guar Sanji dekat sini, hari ini.-Foto BERNAMA.

KANGAR: Seorang lelaki bersenjata pisau yang mengamuk berhampiran pusat khidmat wakil rakyat Guar Sanji dekat sini hari ini mati ditembak selepas dikatakan menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Pemangku Ketua Polis Perlis Datuk Jamshah Mustapa berkata dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Mohamad Taufik Noorzan, 21, mengamuk dan mengancam untuk membunuh rakannya yang tinggal berhampiran pusat khidmat wakil rakyat itu.

Polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara namun lelaki itu yang dalam keadaan tidak terkawal emosinya terus menyerang anggota polis menyebabkan satu lagi tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan terkena badan lelaki itu, katanya.

Jamshah bagaimanapun enggan menyatakan bahagian badan lelaki itu yang terkena tembakan.

Mohamad Taufik yang merupakan peniaga makanan di Arau disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Beliau berkata kejadian itu bermula kira-kira pukul 5.30 pagi apabila lelaki terbabit dikatakan menyerang rakannya, seorang kontraktor berusia 23 tahun dengan sebatang besi dan kayu hingga cedera.

Dia yang masih tidak puas hati dengan tindakan itu pulang ke rumahnya pada pukul 6 pagi dan mengambil sebilah pisau, dan semasa dalam perjalanan ke rumah kontraktor itu, dia singgah di balai polis Arau untuk memaklumkan niatnya, katanya.

Jamshah berkata dua anggota polis yang bimbang dengan ancaman lelaki itu mengekorinya dan cuba memujuk lelaki itu, tetapi keadaan menjadi tidak terkawal menyebabkan enam lagi anggota polis turut membantu mententeramkan keadaan.

Sementara itu, ibu Mohamad Taufik, Salmiah Ismail, 45, berkata, beliau dimaklumkan anaknya sedang mengamuk oleh anggota polis yang datang ke rumahnya dan ketika beliau dan suaminya Norizan Abdul Rahim tiba di lokasi kejadian, anaknya telah terbaring berlumuran darah.

Salmiah turut mempertikaikan tindakan polis menembak anaknya sehingga mati.

Sementara itu Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Seri Azmi Khalid turut mempertikaikan kewajaran polis menembak Mohamad Taufik pada anggota badan yang tidak sepatutnya.

"Saya tidak pertikai tugas polis tapi mengapa tidak ditembak bahagian kaki atau lepaskan sahaja tembakan amaran ke udara," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain