suria

Kualiti Elemen Penting Pembangunan Modal Insan - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengemukakan beberapa pelan latihan jaminan kualiti untuk pegawai dan penilai agensi jaminan kualiti yang merupakan elemen penting bagi membentuk modal insan khasnya di institusi pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata pelan itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Meja Bulat Agensi Jaminan Kualiti negaranegara anggota Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) yang bermula semalam.

"Antara cadangan Malaysia ialah penganjuran bengkel latihan yang akan melatih pegawai jaminan kualiti dan panel penilai negara anggota OIC mengenai amalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Meja Bulat Agensi Jaminan Kualiti negara anggota OIC di sini malam semalam.

Mohammed Khaled berkata bengkel latihan itu sesuai untuk negara OIC yang mempunyai perancangan untuk menubuhkan agensi jaminan kualiti seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di Malaysia memandangkan kebanyakan negara-negara OIC tidak mempunyai sebuah badan seumpamanya.

Mesyuarat tiga hari itu dihadiri 45 peserta daripada 28 buah negara anggota OIC, diadakan bertujuan mempromosi kerjasama dan pertukaran maklumat berkaitan isuisu yang melibatkan jaminan kualiti pengajian tinggi di kalangan negara-negara OIC.

Mohamed Khaled berkata idea penganjuran mesyuarat itu tercetus selepas perdebatan mengenai pelaksanaan sistem penarafan universiti di negara anggota OIC semasa Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik OIC keempat yang berlangsung di Baku, Azerbaijan pada 5 hingga 8 Oktober tahun lepas.

Selain bengkel latihan membabitkan jaminan kualiti, Malaysia mencadangkan agar ditubuhkan sebuah institut latihan berkaitan jaminan kualiti untuk negara anggota OIC demi memastikan setiap institut pengajian tinggi mencapai kualiti piawaian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain