suria

Kes Lingam: Terpulang Kepada Peguam Negara - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terpulang kepada Peguam Negara berhubung hasrat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu meneliti kes pita rakaman peguam Datuk V.K Lingam.

"Terserah kepada AG (Peguam Negara) untuk menilai permohonan panel SPRM. Dan jika ada alasan sahih untuk berbuat demikian, kita serah kepada AG untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia yang muncul juara keseluruhan World Robot Olympiad (WRO) 2009 di Kementerian Pelajaran di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PPO SPRM semalam yang akan menulis surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat bagi membolehkan kertas siasatan kes video Datuk V.K Lingam dibentangkan kepada panel berkenaan.

Pengerusi panel, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata langkah itu perlu kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan umum walaupun ia berlaku sebelum penubuhan PPO pada tahun ini.

Mengenai laporan tentang SPRM mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar elaun Menteri, Timbalan Menteri dan wakil rakyat dinaikkan, Muhyiddin berkata kajian dilakukan dari semasa ke semasa tetapi kurang pasti sama ada sudah sampai masanya kenaikan perlu dibuat.

Katanya beban sebagai wakil rakyat itu adalah pelbagai tetapi mesti ada kebijaksanaan sebagai seorang wakil rakyat.

"Saya juga wakil rakyat dan pernah mengalaminya hampir lebih 30 tahun, jadi mesti ada kebijaksanaan untuk mengendalikan perkara seperti itu," katanya.

Muhyiddin mengakui soal ganjaran itu penting tetapi tidak fikir itu adalah satu-satunya penyelesaian kerana sebagai wakil rakyat, mereka boleh merujuk agensi dan jabatan untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan misalnya daripada segi pembangunan.

"Mungkin yang mereka rasa berat itu adalah kerana tuntutan masyarakat adalah begitu rupa. Seperti nak bayar yuran sekolah, kena saman polis minta tolong wakil rakyat. Jadi beban itu lebih daripada soal hanya menjadi penggubal undang-undang," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata setakat hari ini, perkara itu belum timbul dan terserah kepada pucuk pimpinan kerajaan sama ada wajar atau tidak untuk mempertimbangkannya.

Ditanya sama ada sesuai SPRM menjalankan kajian supaya elaun dinaikkan, Muhyiddin berkata terpulang kepada mereka jika didapati langkah itu perlu dan wajar dibuat untuk menilai beban kerja wakil rakyat.

Namun, Timbalan Perdana Menteri itu berkata pelbagai pertimbangan aspek lain perlu diambil kira dan bukan hanya soal bayaran gaji sahaja tetapi kesan kepada pihak lain.

"Seperti baru-baru ini, Cuepacs minta bayaran bonus (dua bulan gaji) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah jelaskan dalam situasi ekonomi sebegini tidak sesuai.

"Jadi faktor-faktor sewajarnya diambil kira dalam apa jua kajian, bukan soal keperluan tetapi keupayaan, kemampuan, situasi ekonomi dan kerajaan. Semua itu diambil kira," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain