suria

JAIS Geledah Banglo Tempat Dr Asri Beri Ceramah Tanpa Tauliah

PETALING JAYA: Banglo mewah di mana bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditangkap kerana memberi kuliah agama tanpa tauliah telah digeledah oleh dua orang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.

Menurut sumber, lima orang pegawai JAIS yang mendapat waran geledah yang ditandatangani oleh pegawai Pengurusan Waran Tangkap Unit Tindakan Khas JAIS, Amir Zubir telah datang ke premis tersebut pada pukul 4.30 petang semalam.

"Pihak tuan rumah hanya membenarkan dua orang daripada mereka, Luqman Ramli dan Azhar Nordin untuk masuk ke dalam banglo tersebut.

"Manakala tiga yang lain berada bersama dengan anak tuan rumah di hadapan pintu pagar," kata sumber itu.

Difahamkan waran geledah itu telah dipohon oleh Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik JAIS, Shahrom Maarop bagi menggeledah dan mengambil barang kes untuk membantu siasatan atas dakwaan mengajar tanpa tauliah di bawah Seksyen 119.

"Mereka hanya mengambil beberapa lakaran pelan lantai (floor plan) dan beredar dari banglo tersebut satu jam kemudian," katanya.

Menurut sumber itu lagi, tuan rumah telah mendapat notis untuk hadir memberi keterangan sebagai saksi pada 18 November ini pada pukul 10 pagi di bahagian Pengurusan Unit Penguatkuasaan JAIS, Tingkat 4, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam.

"Notis tersebut telah ditandatangani oleh Penolong Pengarah Penyelarasan dan Koordinasi, Ustaz Nasrul Hadi," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Dr Asri tokoh agama yang terkenal dengan pemikiran tajdidnya telah mengesahkan beliau telah menerima notis untuk hadir ke mahkamah pada 18 November ini pada pukul 9 pagi di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

Pagi semalam, Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata Dr Asri akan didakwa di Mahkamah Syariah setelah tarikh tersebut ditetapkan oleh pihak mahkamah selepas kertas pertuduhan mengenai kes Dr Asri difailkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid pagi kelmarin.

Hidayat berkata, Dr Asri akan didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur terlebih dahulu sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

"Kes ini merupakan kes berprofil tinggi, jadi kita harap ia akan dapat diselesaikan segera," katanya.

Pada 1 November lalu, Dr Asri ditahan ketika sedang memberikan ceramah kepada kira-kira 300 orang di sebuah rumah dekat Ukay Heights, Ulu Klang.

Beliau ditahan sekumpulan penguatkuasa JAIS pada pukul 9.45 malam bersama sepasukan polis siap bersenjatakan pistol dan mesin gun automatik.

Bekas mufti itu, dibawa ke Balai Polis Hulu Klang, kira-kira dua jam selepas itu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan keesokannya beliau diminta hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur sebelum dibebaskan dengan bon jaminan bagi membolehkan beliau dipanggil semula.

Menurut Hidayat, Dr Asri akan didakwa mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar Agama Islam atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada JAIS.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain