suria

Fokus Pada Pelan Perpaduan - Ong

LABUAN: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat meminta anggota parti fokus pada pelaksanaan "pelan perpaduan unggul" dan mengingatkan bahawa tiada anggota parti yang boleh terlepas daripada tindakan disiplin.

Beliau berkata setiap anggota parti tidak harus melakukan serangan peribadi.

"Bagi pemimpin pula, jika mereka mahu menjelaskan perkara tertentu, pastinya mempunyai kebebasan tertentu.

"Pada peringkat ini, masa untuk saya mengeluarkan amaran kepada semua pihak dalam parti bahawa kita tidak boleh menyerang peribadi individu tertentu," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pendaftaran kapal pertama dengan Pejabat Pendaftar Kapal Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

"Kita perlu kekal fokus terhadap pelaksanaan pelan perpaduan," katanya.

Mengenai pergeseran antara timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ong berkata: "Sudah tentu, mereka mungkin mempunyai kebebasan untuk memberikan perspektif yang betul bagi isu tertentu, tetapi jangan keterlaluan. Pastinya, tiada siapa akan membenarkan pelanggaran disiplin parti oleh sesiapa pun."

Ong berkata perwakilan dan pemimpin akar umbi boleh menyuarakan pendapat mereka esok pada sesi dialog yang diaturkan oleh Dr Chua di ibu pejabat parti.

"Saya sifatkannya sebagai perjumpaan dalam MCA, bukan hanya perwakilan tetapi juga pemimpin akar umbi. Mereka berhak untuk bertanya soalan dan , saya ingin katakan, ia menyediakan platform yang baik bagi akar umbi untuk menyuarakan kebimbangan dan pandangan mereka," katanya.

Mengenai usaha parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membantu menyelesaikan krisis MCA, katanya pemimpin parti saling berkomunikasi antara satu sama lain.

"Bukannya tiada komunikasi, dan saya ingin katakan usaha proaktif sedang diusahakan. Tidak dinafikan, pada kebanyakan masa, kami memilih untuk melakukannya secara tertutup.

"Ini bukan bermakna yang kami tidak berbuat apaapa. Malahan saya dan Dr Chua Soi Lek boleh melupakan perselisihan demi kebaikan parti. Kenapa tidak pihak lain," soalnya.

Katanya beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya seperti diamanahkan disebalik krisis parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain