suria

Dr Asri sudah terima notis hadir ke mahkamah 18 November ini

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam mengesahkan beliau telah menerima notis untuk hadir ke mahkamah berhubung isu menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 18 November ini.

Perkara tersebut disahkan oleh peguam yang mewakilinya, Kamar Ainiah kepada mStar Online semalam.

"Ya, Dr (Asri) ada maklumkan kepada saya mengenai notis tersebut. Dr (Asri) kata dia baru sahaja terima notis berkenaan setengah jam yang lalu.

"Apa pun saya perlu tunggu Dr (Asri) fakskan notis tersebut untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan JAIS bahawa bekas mufti itu akan didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Rabu depan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata Dr Asri akan didakwa di Mahkamah Syariah setelah tarikh tersebut ditetapkan oleh pihak mahkamah selepas kertas pertuduhan mengenai kes Dr Asri difailkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid pagi kelmarin.

"Tarikh tersebut (18 November) telah ditetapkan oleh pihak mahkamah, namun segala perubahan dari segi masa dan tarikh adalah tertakluk pada arahan daripada mahkamah syariah Gombak Timur.

"Pihak kami (JAIS) hanya menjalankan tugas untuk siapkan kertas siasatan," katanya.

Selasa lalu, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik JAIS, Shahrom Maarop ketika dihubungi berkata, Dr Asri dijangka akan didakwa di mahkamah pada hari Jumaat ini atau selewat-lewatnya awal minggu hadapan.

Pada 1 November lalu, Dr Asri ditahan ketika sedang memberikan ceramah kepada kira-kira 300 orang di sebuah rumah dekat Ukay Heights, Ulu Klang.

Beliau ditahan sekumpulan penguatkuasa JAIS pada pukul 9.45 malam bersama sepasukan polis siap bersenjatakan pistol dan mesin gun automatik.

Bekas mufti itu, dibawa ke Balai Polis Hulu Klang, kira-kira dua jam selepas itu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan keesokannya beliau diminta hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur sebelum dibebaskan dengan bon jaminan bagi membolehkan beliau dipanggil semula. Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Mohd Hidayat berkata, Dr Asri akan didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur terlebih dahulu sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

"Kes ini merupakan kes berprofil tinggi, jadi kita harap ia akan dapat diselesaikan segera," katanya.

Ditanya sama ada Dr Asri telah dimaklumkan mengenai tarikh beliau akan didakwa, Mohd Hidayat berkata pihaknya akan segera memaklumkan kepada bekas mufti itu mengenai isu berkenaan.

"Beliau (Dr Asri) dibebaskan atas jaminan JAIS, jadi kita boleh panggilnya pada bila-bila masa. Saya jangka pihak pendakwa akan memaklumkan kepada beliau dalam masa terdekat ini," katanya.

Menurut Mohd Hidayat, bekas mufti Perlis itu akan didakwa mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar Agama Islam atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada JAIS.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain