suria

SPRM Lantik Pakar Forensik UK Untuk Bedah Siasat Semula Teoh

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melantik seorang pakar forensik bebas Profesor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom, untuk menjadi pemerhati dalam bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock pada 22 November ini.

Datuk Abdul Razak Musa, peguam pemerhati SPRM pada inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, berkata demikian kepada media selepas prosiding inkues ditangguhkan hari ini.

Abdul Razak berkata Dr Vanezis merupakan pengarah bagi Cameron Centre for Forensic Medical Sciences, London, dan telah mengendalikan sebanyak 2,000 autopsi kes kematian mengejut, yang 1,500 daripadanya membabitkan homisid.

Mayat Teoh akan digali semula pada Nov 21 atas permintaan keluarganya untuk bedah siasat kedua yang juga akan dihadiri pakar patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan, bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

Prosiding inkues hari ini ditangguhkan sehingga 9 Dis untuk mendengar keterangan ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, yang terlibat dalam kes saman sivil terhadap SPRM yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi minggu depan.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat penangguhan itu setelah membenarkan permohonan peguam Karpal Singh, bagi Tan, supaya anak guamnya memberikan keterangan selepas Mahkamah Tinggi memberikan keputusan dalam kes saman sivil itu pada 19 Nov.

"Adalah lebih baik jika keterangan saksi ini didengar selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan kerana keputusan Mahkamah Tinggi akan mengikat mahkamah ini nanti," kata Karpal dalam permohonannya. Tan, 39, yang merupakan seorang daripada dua Exco dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disiasat SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor, sepatutnya memberikan keterangannya sebagai saksi dalam prosiding itu hari ini.

Peguam Tan Hock Chuan (bagi kerajaan Malaysia), Gobind Singh Deo (bagi keluarga Teoh) dan Abdul Razak tidak membantah permohonan itu.

Pada 22 Julai lalu, Tan memfailkan saman terhadap Ketua Suruhanjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa beliau ditahan dan disoal siasat secara salah pada 15 Julai lalu.

Beliau mendakwa telah ditahan tanpa sebarang kuasa sah oleh pegawai SPRM kerana mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM, beliau hanya boleh disoal siasat antara pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Dalam prosiding hari ini, T. Sivanesan, saksi yang mendakwa pernah didera oleh pegawai SPRM tahun lalu turut dipanggil ke mahkamah untuk mengecam pegawai terbabit.

Sivanesan mengecam Mohd Ashraf Mohd Yunus melalui keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 29 Ogos lalu, yang menyiarkan gambar pegawai itu.

"Kamu dapat mengecam (Mohd) Ashraf kerana dalam berita itu hanya ada dua gambar yang disiarkan, jadi senanglah untuk kamu mengecam pegawai tersebut?" soal Abdul Razak dan saksi itu menjawab: "Tidak setuju."

Abdul Razak kemudian berkata saksi itu sepatutnya melakukan pengecaman yang lebih adil melalui kawad cam, yang akan membariskan beberapa lelaki lain dengan bentuk fizikal hampir serupa dengan Mohd Ashraf, daripada hanya mengecam pegawai itu melalui gambar. BERNAMA

Artikel Lain