suria

Nasib Kerusi Kota Siputeh Diketahui Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan Isnin ini untuk memutuskan sama ada pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar oleh peguam Sulaiman Abdullah yagn mewakili Speaker DUN Kedah Abdul Isa Ismail yang memohon semakan semula kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai Adun.

Abdul Isa mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukan lagi seorang Adun berikutan kegagalannya untuk menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini dan kerusi berkenaan adalah kosong.

Beliau turut memohon perintah supaya SPR mengadakan pilihan raya kecil yang baru.

Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman itu pada 1 Sept, selepas SPR memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh tidak kosong dan Abu Hassan masih merupakan seorang Adun.

Dalam penghujahannya, Sulaiman berkata: "Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana Anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran daripada Speaker selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusinya akan menjadi kosong.

"Prasyarat dalam Perkara 51 telah pun berlaku, tiada ruang bagi responden pertama untuk mendakwa bahawa beliau masih Adun Kota Siputeh."

Beliau juga berkata SPR sebagai responden kedua telah bertindak secara tidak sah dan melakukan kesilapan bidang kuasa apabila memutuskan bahawa tiada kekosongan bagi kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan Adun Kota Siputeh.

"Mereka (SPR) terbawa-bawa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mereka kini dianggap mempunyai kuasa tunggal untuk menentukan bahawa berlaku kekosongan secara kebetulan bagi kerusi DUN itu," kata Sulaiman.

Peguam itu berhujah bahawa keputusan dalam kes Speaker Perak menentang Jamaluddin Mohd Radzi dan dua lagi Adun, yang diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, perlu dibezakan memandangkan kes itu membabitkan isu peletakan jawatan Adun terbabit.

"Dalam kes kami, tidak dipertikaikan bahawa responden pertama tidak hadir, dan beliau tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker. "SPR bertindak secara tidak sah apabila suruhanjaya itu menerima sijil cuti sakit dan alasan yang dikemukakan oleh responden sedangkan ia tiada kuasa untuk berbuat demikian. Kuasa seperti itu terletak semata-mata dalam tangan Speaker selaras dengan Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," kata Sulaiman.

Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Abu Hassan berkata mengikut Perkara 53(5) Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan secara kebetulan dan bukannya Speaker.

Beliau berkata SPR telah menulis surat bertarikh 1 Sept 2009, kepada Speaker dengan memberikan justifikasi penuh kenapa kerusi itu tidak kosong.

"Pada 16 Ogos, responden pertama menemui Speaker untuk menjelaskan mengenai penyakitnya dan ketidakhadiran beliau dalam persidangan DUN terakhir serta menyerahkan sijil cuti sakit. Responden kedua bertindak wajar apabila beliau mengambil kira alasan yang diberikan oleh responden pertama," kata Hafarizam.

Peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR, berhujah bahawa SPR bertindak dengan wajar sebelum memutuskan bahawa kerusi DUN itu tidak kosong.

"SPR tidak boleh hanya menutup matanya... mengisytiharkan kekosongan dan mengadakan pilihan raya baru. Ini suatu isu yang besar. Pilihan raya membabitkan wang rakyat. SPR mesti bertindak dengan sewajarnya," katanya.

Abdul Isa dan Abu Hassan hadir pada prosiding itu. BERNAMA

Artikel Lain