suria

Kerana Cemburu, Lelaki Serang Teman Wanitanya

KUALA LUMPUR: Sebuah salon rambut gempar apabila seorang lelaki bergaduh dengan pemilik salon itu yang juga kekasihnya sehingga lelaki itu melepaskan tiga tembakan amaran ke dinding dan siling salon di Taman Kosas, Ampang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, seorang lelaki berumur 23 tahun telah memasuki salon teman wanitanya yang berusia 35 tahun dan mula bergaduh di hadapan tiga pekerja salon dan kemudian menghalau keluar pekerja terbabit dari salon itu.

Bagaimanapun, polis yang tiba di tempat kejadian pada 12.54 tengah hari berjaya mengarahkan suspek menyerah diri selepas memujuknya selama lima minit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian itu disebabkan cemburu.

"Polis sedang menyiasat motif sebenar kejadian. Bagaimanapun, kita tidak menolak perasaan marah dan cemburu mendorong suspek menyerang mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya keduadua mereka bersama tiga pekerja salon itu dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Amiruddin berkata dalam insiden itu polis turut merampas sepucuk pistol automatik jenis Walter dan tiga butir peluru hidup.

"Kita sedang menyiasat sama ada suspek memiliki permit sah untuk pistol itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain