suria

Keputusan Isu Pembekuan Penghantaran Pembantu Rumah Indonesia Selepas Mesyuarat 20 November

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia akan hanya diketahui selepas berlangsung mesyuarat ketiga kumpulan kerjasama Malaysia-Indonesia mengenai pembantu rumah pada 20 November ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata mesyuarat ketiga itu bakal membincang dan membuat keputusan mengenai kos membawa masuk pembantu rumah Indonesia ke dalam negara.

"Saya harap pada mesyuarat akan datang, satu keputusan boleh dicapai mengenai 'structure cost' yang dicadangkan, dengan persetujuan kedua-dua pihak, dan jika isu-isu ini boleh diselesaikan saya berharap isu pembekuan pembantu rumah asing ini akan ditamatkan," katanya pada satu persidangan media di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Subramaniam menghadiri mesyuarat dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia A.Muhaimin Iskandar yang antara lain membincangkan isuisu berkaitan pekerja asing Indonesia dalam negara.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lalu berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Sementara itu, Hishammuddin pada persidangan media yang sama berkata satu unit khas ditubuhkan hasil daripada mesyuarat semalam, khusus bagi mencari kaedah terbaik menangani kes penderaan pembantu rumah dalam negara.

"Unit khas ini yang terdiri daripada pihak polis dan pegawai pendakwa akan melaporkan kajian mereka (mengenai kes penderaan) secara langsung kepada saya sendiri," katanya.

"Pihak kerajaan Indonesia melalui menteri bertanggungjawb (Muhaimin) juga akan dimaklumkan mengenai kajian itu dan akhirnya kami berdua (masing-masing) akan melaporkan terus kepada pihak Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya. BERNAMA

Artikel Lain