suria

Ulama Diseru Beri Penjelasan Mengenai Sesuatu Keputusan- Pak Lah

KUALA LUMPUR: Ulama diseru supaya menjelaskan dalil, sandaran atau kaedah bagaimana keputusan atau pendapat mereka mengenai sesuatu hukum atau isu berkaitan Islam dicapai, bagi mengelakkan kecelaruan di kalangan masyarakat.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata banyak isu dalam masyarakat yang menagih penjelasan daripada golongan bijak pandai agama seperti isu kalimah Allah, yoga, ajaran sesat, fahaman syiah, anti mazhab dan anti ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Fenomena ini boleh dilihat, contohnya melalui pewartaan dan penerbitan fatwa-fatwa yang selalunya tanpa penerangan dan keputusan-keputusan mahkamah syariah yang seringkali tidak disusuli dengan penghakiman bertulis, yang menjelaskan alasan-alasan atau rasional penghakiman secara terperinci," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Seminar Taqlid, Ijtihad dan Tafliq di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata majoriti anggota masyarakat bukan pakar dalam hal-hal syariah dan agama dan mereka boleh dikategorikan kepada dua kumpulan, iaitu golongan yang tidak berpelajaran secara formal dan kelompok yang berpendidikan tinggi.

"Dalam kehidupan beragama, cabaran utama datang dari kumpulan kedua kerana mereka adalah golongan yang menagih penerangan rasional kepada hampir semua perkara.

"Keadaan ini yang menjadi cabaran paling hebat bagi golongan ulama kerana jika fatwa mereka tidak meyakinkan, perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata pendekatan yang perlu diambil bagi menangani masalah itu ialah menerima 'ijtihad' sebagai kaedah untuk menghadapi penyelesaian dan keputusan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam.

'Ijtihad' bermaksud mengerah segala tenaga dan fikiran untuk menyelidiki dan mengeluarkan hukum-hukum yang terkandung dalam Al-Quran dengan syarat-syarat tertentu.

Abdullah juga berkata kewibawaan undang-undang syariah bergantung kepada intergriti dan kemampuan ijtihad masyarakat Islam.

"Kita perlu mengakui bahawa syariah bukan suatu perundangan Islam yang jumud. Syariah mesti terus berkembang dan berkemampuan untuk menentukan hukum-hukum yang berkaitan dengan kehidupan ummah dalam semua bidang.

"Para ulama perlu bersedia menghadapi cabaran baru sekarang. Fahaman ajaran Islam perlu ditingkatkan dan diperluaskan di peringkat persekolahan hingga ke peringkat pengajian tinggi," katanya.

Selain itu beliau juga berkata media perlu memainkan peranan dengan memberi penjelasan terbaik agar tidak memburukkan lagi kekeliruan dalam masyarakat.

Seminar tiga hari itu antara lain bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta istilah lain berkaitan, di samping meningkatkan kefahaman mengenai objektif undang-undang Islam.

Sepanjang seminar itu, 300 peserta dari seluruh negara dijangka menghadiri pembentangan kertas kerja oleh ahli akademik terkemuka negara. BERNAMA

Artikel Lain